Tuesday, April 28, 2015
Wanita Manfaat Kempen Secara Bersemuka Untuk Maklumat Jelas
28 April 2015, Rompin : Jentera Wanita UMNO sentiasa berada di dalam
keadaan siap sedia dengan gerak kerja yang tersusun tanpa mengira musim,
ujar Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun.
“Saya bersyukur di atas kesiapsiagaan jentera Wanita UMNO dan Barisan
Nasional (BN) amnya sama ada pilihan raya berlaku ataupun tidak.
“Dan begitulah juga di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin ini,
begitu juga dengan di Permatang Pauh, kita bersiap sedia sejak dari awal
lagi,” katanya, yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurutnya lagi, jentera Wanita di peringkat akar umbi yang
dianggarkan seramai dua ribu orang sekarang ini sudah bergerak dari
rumah ke rumah bagi meliputi ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) dalam Parlimen Rompin.
Beliau berkata demikian di dalam sidang media sebaik selesai majlis
pelancaran Jelajah Keluarga Bahagia di Muadzam Shah, di sini, hari ini.
Program Jelajah Keluarga Bahagia dengan tema ‘Saya Sayang Keluarga
Saya’ ini merupakan satu program di bawah kelolaan Kementerian Wanita,
Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang diadakan di seluruh negara.
Antara tujuannya adalah bagi melahirkan keluarga yang bahagia, kerana
di situ mampu melahirkan individu yang berkualiti dan berperibadi mulia
yang seterusnya menjadi pemangkin kepada proses perubahan dan
pembangunan sesebuah negara.
Tambah Ahli Parlimen Beaufort itu lagi, sejak dahulu lagi sebenarnya
jentera Wanita telah menggunakan pendekatan lebih tertumpu selain
daripada kempen dari rumah ke rumah yang merupakan identiti Wanita.
“Wanita juga mengadakan program kecil-kecilan seperti majlis bacaan
yasin dan tahlil, program memasak, gubahan dan pelbagai lagi yang
dilihat amat berkesan.
“Program-program sedemikian, kita dapat bersemuka dengan rakyat,
bukan sekadar program dari jauh mendengar ucapan sahaja, tetapi dengan
ini juga dapat mendengar apa yang ingin mereka sampaikan,” jelasnya.
Justeru itu, dalam masa yang sama juga, jentera dapat menyampaikan
apa yang perlu disampaikan mengenai isu-isu semasa, maklumat yang perlu
dijelaskan, kerana kadang-kadang masyarakat hanya mendengar dari sebelah
pihak sahaja yang mungkin tidak betul dan mengelirukan, tambahnya lagi.
Dalam pada itu juga beliau bersyukur di atas penerimaan masyarakat
terhadap calon BN di PRK Parlimen Rompin ini, Datuk Hasan Arifin.
“Alhamdulillah, sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat, harapan
kita supaya dapat mempertahankan majoriti seperti yang diperolehi oleh
Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, sekurang-kurangnya, InsyaAllah,”
harap beliau.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan
Sri Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih
pada 4 April lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari
pengundian diadakan pada 5 Mei, manakala pengundian awal pada 30 April.
Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Tan Sri Jamaluddin Jarjis
mempertahankan kerusi Parlimen Rompin dengan majoriti 15,114, memperoleh
30,040 undi, menewaskan calon Pas, Nuridah Mohd. Salleh, 14,926.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment