Monday, April 20, 2015
UMNO Kedah Sokong PM dan MB, Mahu Mukhriz Batal Keluar Kenyataan
18 April 2015, Alor Setar : Badan Perhubungan UMNO Kedah hari ini
menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dan
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad
Bashah Md Hanipah yang membuat kenyataan itu turut meminta Mukhriz
membatalkan cadanganuntuk memberikan kenyataan pada 24 April ini di
Kuala Lumpur.
“Mesyuarat juga bersetuju supaya Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz
Mahathir tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan isu ini kerana kami
memahami situasi beliau. Kita bersetuju untuk membatalkan mesyuarat
Perhubungan UMNO Negeri Kedah pada 24 April itu,” katanya.
Terdahulu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah mengadakan mesyuarat
khas di kediaman rasmi Mukhriz di Seri Mentaloon di sini, yang turut
dihadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan
Nasional (BN).
Mesyuarat itu bermula pada 12 tengah hari dan berakhir kira-kira dua
jam kemudian dan dipengerusikan sendiri oleh Mukhriz, yang juga
Pengerusi Badan Perhubungan itu. Mukhriz tidak berada di sidang media
itu.
Kesemua Ketua Umno Bahagian hadir pada mesyuarat khas hari ini
kecuali Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Seri Jamil Khir
Baharom (Jerai), dan Datuk Mohd Johari Baharom (Kubang Pasu).
ADUN BN yang tidak hadir ialah Datuk Ahmad Lebai Sudin (Bukit Lada).
Menurut Ahmad Bashah, mereka yang tidak menghadiri mesyuarat hari ini
kerana berada di luar negara dan telah menghantar wakil masing-masing.
Katanya, mesyuarat khas hari ini juga mengambil ketetapan menghormati
pandangan-pandangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan
mahukan beliau memberi masa kepada Najib untuk mentadbir negara.
Ahmad Bashah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan berkata, mesyuarat juga menyokong tindakan
Perdana Menteri meminta Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) melakukan
audit terhadap syarikat pelaburan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB),
antara isu utama yang ditimbulkan Dr Mahathir.
Tentang perpaduan UMNO Kedah, katanya, soal itu tidak berbangkit dan
mesyuarat khas menyatakan perpaduan UMNO negeri tetap kukuh dan
menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri dan Mukhriz sebagai
Menteri Besar.
Mengenai sama ada UMNO Kedah akan mengambil tindakan terhadap ADUN
Bukit Lada mengenai kenyataannya mahukan Mukhriz meletak jawatan
sekiranya gagal menyokong Perdana Menteri, beliau berkata, itu terpulang
pada Ibu Pejabat UMNO.
Menurutnya, kenyataan Ahmad itu merupakan kenyataan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak lain.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment