Monday, April 27, 2015

Bersama ‘Melakar Sejarah Baru’ Di Bumi Permatang Pauh – Suhaimi

26 April 2015, Permatang Pauh : Calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Haji Sabudin menyatakan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang telah memberikan kepercayaan kepada beliau apabila dipilih sebagai calon BN di dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan berlangsung pada 7 Mei ini.

Menurut beliau, kepercayaan dan keyakinan yang diperlihatkan oleh pucuk pimpinan parti tidak akan dipersiakan dan beliau akan sedaya upaya memberikan komitmen yang terbaik dalam usaha untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRK ini.

“Saya berasa amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti, terutamanya ketua bahagian saya, Datuk Zaidi yang merupakan individu yang begitu kuat memberikan sokongannya kepada saya.

“Insya-Allah, saya akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memberikan keyakinan kepada rakyat di Permatang Pauh ini agar memberikan peluang kepada BN berkuasa kembali di kawasan ini demi masa depan rakyat di Permatang Pauh,” ujarnya kepada UMNO-Online dalam satu temubual eksklusif.
11193293_10153022804719998_5596424059089141522_n
Tambah Suhaimi lagi, dengan slogan ‘Melakar Sejarah’, beliau memberikan sepenuh pengharapan kepada rakyat dan pengundi di kawasan ini agar bergerak bersama-sama beliau untuk menempa sejarah dan memberikan nafas baru dari segi pembangunan, sosio politik dan akademik yang lebih baik di kawasan ini.

“Sekiranya terpilih, maka sudah pasti saya akan menjalankan tugas sebagai ahli parlimen dengan penuh amanah dan saya akan pergunakan segala pengetahuan dan kelebihan yang ada pada saya untuk membantu masyarakat di kawasan ini.

“Dan saya juga merasakan bahawa pada detik inilah semua warga permatang pauh  dapat memberikan peluang kepada BN untuk kembali mentadbir di kawasan ini setelah lebih 17 tahun berada di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya mohon dan merayu kepada seluruh warga Permatang Pauh, yang mengenali saya untuk membantu BN bagi memenangi PRK kali ini. Marilah kita sama-sama melakarkan sejarah baru di bumi Permatang Pauh ini untuk satu harapan bagi masa depan yang lebih baik dari hari ini,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada jentera-jentera parti yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam untuk memastikan BN menang pada PRK kali ini.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakan-rakan, jentera parti wanita, pemuda dan puteri yang sanggup bersusah payah menjalankan gerak kerja kempen dan insya-Allah saya yakin, sekiranya niat kita ikhlas dan nawaitu perjuangan ini adalah untuk agama, bangsa dan negara maka Allah akan memberikan kemenangan buat BN dalam PRK kali ini,” akhiri beliau.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment