Wednesday, April 22, 2015
Enam Pasukan Penguat Kuasa Pantau PRK Permatang Pauh – SPR
22 April 2015, Georgetown : Enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan
raya (PPKPR) akan membantu memantau kelancaran proses Pilihan Raya Kecil
(PRK) Parlimen Permatang Pauh.
Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang Azizal
Ahmad berkata setiap pasukan mempunyai lima anggota terdiri daripada
ketua pasukan, seorang pegawai polis, wakil Majlis Perbandaran Seberang
Perai (MPSP) dan wakil parti bertanding.
Beliau berkata dua pasukan akan ditempatkan di setiap kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.
“Mereka ditugaskan untuk membuat rondaan di kawasan DUN terlibat dan
memantau perjalanan kempen dari segi pemasangan poster dan ceramah.
Mereka akan ambil tindakan jika ada pihak yang tidak mematuhi peraturan
yang ditetapkan SPR.
“Buat masa ini, kami letakkan lima anggota bagi setiap pasukan dan
jika ada pertambahan calon yang bertanding kami akan tambah anggota.
Mereka akan mula bertugas selepas hari penamaan calon,” katanya ketika
dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mengenai persiapan SPR untuk hari penamaan calon 25 Mei ini, Azizal
berkata pihaknya menyediakan tiga khemah untuk penyokong parti di
perkarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Berapit Seberang
Perai Tengah dekat sini, dan setiap calon yang berhasrat untuk
bertanding hanya dibenar membawa 100 penyokong ke perkarangan dewan.
“Persiapan dari segi logistik dan peralatan dah siap. Cuma untuk ‘set
up’ dalam dewan di IKBN kami akan buat Jumaat ini. Selain khemah untuk
penyokong, khemah untuk orang kenamaan yang hadir pada Sabtu ini turut
disediakan,” katanya.
Beliau menasihatkan parti-parti politik bertanding agar mendapatkan
pas masuk daripada pengurus pilihan raya bagi membolehkan penyokong
mereka menyertai peroses penamaan calon Sabtu ini.
Sebanyak 10 borang pencalonan telah dijual setakat ini, katanya.
Beliau berkata seramai 1,099 petugas SPR akan ditugaskan sepanjang PRK itu meliputi pegawai pengurus sehinggalah pemandu.
Sebanyak 27 pusat daerah mengundi akan dibuka dengan 130 saluran untuk undi biasa dan dua saluran untuk undi awal, katanya.
Azizal berkata Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,820 pengundi berdaftar dengan 627 orang pengundi awal.
“Saya ingin menasihatkan parti-parti bertanding supaya mematuhi
peraturan yang ditetapkan bagi menjamin ketenteraman dan kelancaran PRK
Permatang Pauh. Bagi penyokong pula jangan cuba untuk menimbulkan
provokasi yang boleh mendatangkan kekecohan,” katanya.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar
Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar
melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang
Pauh dengan menewaskan calon Barisan Nasional Dr Mazlan Ismail dengan
majoriti 11,721 undi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment