Monday, April 20, 2015

Mantan Pesuruhjaya PAS Selangor Gagal Pertahan Jawatan YDP PAS Kawasan

rani osman 

20 April 2015, Shah Alam : Dalam gelora politik Selangor kembali bergolak apabila wujud dakwaan beberapa wakil rakyat di Selangor bakal bermufarakah dari barisan pimpinan Menteri Besar, kem Anwarinas berterusan dilanda badai, apabila YB Dr. Abdul Rani Osman, mantan Pesuruhjaya PAS Selangor difahamkan telah tewas mempertahankan jawatan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kapar kepada Ustaz Noor Najhan Mohd Salleh.

Ustaz Noor Najhan adalah calon PAS yang bertanding pada pilihanraya tahun 1999, kalah kepada calon BN, Dato’ Jaei Ismail dengan majoriti 2600 undi dan dikhabarkan mewakili golongan pro ulama PAS.

Umum pada dasarnya tahu dan kenal, siapa ADUN Meru itu dalam konteks Anwarinas, berpandukan kenyataan-kenyataanya sewaktu mula memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor sebelum ini.

Setelah melihat beberapa tokoh pro Anwarinas di dalam PAS seperti Nizar Jamaluddin gagal mempertahankan jawatan YDP kawasan, maka penulis dengan pasti dan yakin, bahawa sedang selama ini golongan pro ulama PAS dibuli depan dan belakang, kini mereka mengorak langkah untuk menyusun kembali parti, dengan meletakkan pro ulama PAS di kedudukan-kedudukan penting dalam parti.

Sehingga ke saat ini, penulis masih belum menerima sebarang maklumat berhubung jumlah undi yang diterima, tetapi penulis tidak terkejut sekiranya jumlah tersebut adalah cerminan kepada jumlah undi yang diterima oleh Nizar Jamaluddin di kawasan Kampar.

Sebelum ini, kita dapat melihat, bagaimana golongan pro Anwarinas berjaya mengenepikan nama-nama besar pro ulama seperti Datuk Dr Hassan Mohd Ali, mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipecat serta merta apabila mengumumkan pendiriannya untuk tidak menyokong Anwar Ibrahim. Selain itu, Ustaz Nasharuddin Mat Isa juga menjadi mangsa kelicikan permainan politik pro Anwarinas apabila “ditumbangkan” pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden.

Perkembangan ini sangat menarik untuk terus diperhalusi, kerana ia hanya mukadimah, dengan kemuncaknya pada pemilihan PAS pada muktamar yang akan datang, dijadualkan bakal berlangsung di Kuala Selangor.

Sebijaknya, UMNO Kapar khasnya, dan UMNO Selangor amnya harus terus memperkasakan jentera, dengan kerja-kerja politik dilipatgandakan. Janganlah pula hanya kerana desas-desas mufarakahnya 5 orang wakil  rakyat Pakatan beserta kekalahan YB Dr. Rani Osman ini, mereka mula dibuai mimpi indah tidak berasas.

Semoga jentera UMNO Selangor tahu dan yakin, bahawa mereka adalah pembangkang di negeri Selangor.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment