Wednesday, April 22, 2015
Pertembungan BN Dan PAS Bagi PRK Parlimen Rompin
22 April 2015, Rompin : Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen
Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan
Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dan calon Pas Nazri Ahmad.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla Salleh mengumumkan
demikian selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad
Shah di sini ditutup pada pukul 10 pagi selepas dibuka selama sejam.
Fadzilla berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada Nazri, 40, pada pukul 9.05 pagi, dan Hasan, 62, pada 9.07 pagi.
Proses penamaan calon yang bermula pada pukul 9 pagi berjalan lancar
dengan ribuan penyokong daripada kedua-dua parti mematuhi peraturan
untuk berada di luar kawasan pusat penamaan calon sepanjang proses
penamaan.
“Tidak ada borang pencalonan (yang diterima oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya) yang ditolak,” katanya semasa mengumumkan nama Nazri dan Hasan,
sebagai calon Pas dan BN yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Rompin
pada 5 Mei.
Hasan, yang merupakan pemangku Ketua UMNO bahagian Rompin, diiringi
kira-kira 5,000 penyokong BN yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin, ke pusat penamaan calon
Sementara itu, Nazri, yang merupakan Yang Dipertua Pas kawasan Rompin
dan juga Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang, diringi oleh kira-kira 2,000
penyokong dengan diketuai Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.
Turut hadir, dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani
berkata kesemua penyokong telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang
proses penamaan calon hari ini.
“Walaupun ada jerit pekik tapi terkawal,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK
Rompin Supt Abd Aziz Mahmud berkata setakat ini pihaknya tidak menerima
sebarang laporan mengenai kesalahan melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya
sejak Isnin hingga 8 pagi ini.
Katanya anggota polis yang mencukupi juga telah disediakan untuk
mengumpul maklumat mengenai sebarang kesalahan berkaitan PRK Rompin.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4
April lepas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Jamaluddin mengekalkan kerusi
yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas
Ketua Dewan Muslimat Pas Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114
undi.
Hari pengundian PRK ini ditetapkan pada 5 Mei dan pengundian awal pada 30 April.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment