Thursday, April 23, 2015

Pemilihan Calon BN Di Permatang Pauh Ambil Kira Kehendak Penduduk Setempat – Muhyiddin

23 April 2015, Bukit Mertajam : Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dibuat setelah mengambil kira semua faktor dan kehendak penduduk tempatan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengerusi BN itu itu berkata pemilihan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin sebagai calon BN dibuat selepas ditimbang semasak-masaknya oleh kepimpinan UMNO pusat dan bahagian.

“Kami dapati ini adalah calon yang paling sesuai, masih muda, ada kelulusan yang tinggi dan terlibat dalam bidang keusahawanan serta telah lama terlibat dalam parti.

“Tambahan pula, beliau sudah mengenali kawasan Permatang Pauh kerana beliau adalah anak tempatan…ini adalah sesuatu perkara yang dimohon oleh penduduk di sini iaitu calon anak tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan calon BN itu di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata Permatang Pauh memerlukan banyak pembangunan kerana kawasan itu telah agak terkebelakang dari segi pembangunan sejak beberapa tahun yang lalu.

Muhyiddin berkata nasib rakyat di Permatang Pauh perlu dibela terutama dalam soal ekonomi, kesihatan, pendidikan serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menangani masalah kos hidup.

“Kami beri jaminan jika calon BN terpilih pada pilihan raya kecil ini, (telah) ada perancangan yang rapi dan tersusun (yang) boleh kita lakukan di Permatang Pauh.
PG15_230415_CALON_BN
“Kita boleh mengambil kira profil kawasan ini, kita nak beritahu di mana kekurangannya, apa isu-isu sosioekonomi yang dihadapi dan cara bagaimana hal ini dapat kita tangani dengan lebih berkesan.

“Kita bagi jaminan kita akan bagi sokongan moral dan material supaya tugas beliau sebagai wakil rakyat dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Muhyiddin berkata apa yang penting ialah memastikan jentera BN bekerja sebagai satu pasukan yang mantap, tanpa perselisihan dan bekerjasama erat untuk memastikan kemenangan bagi merealisasikan hasrat rakyat di kawasan itu.

Ditanya mengenai pergolakan dalam pakatan rakyat yang dilihat semakin ketara, Timbalan Perdana Menteri berkata itu adalah hal mereka dan rakyat yang akan menilainya.

“Apa lagi itu adalah perkara-perkara pokok, bukan perkara kecil…perbezaan pendapat yang agak ketara dalam soal-soal pokok dan dasar dalam parti DAP dengan PAS…sampai hari ni pun isu itu masih hangat.

“Apa yang penting ialah jentera BN harus bergerak dan bekerja menemui setiap pengundi dan kita tidak mahu tanya mereka sokong siapa, yang penting kita nak selesaikan masalah mereka,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata BN bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh ini bukan setakat memilih calon untuk menjadi wakil rakyat tetapi mempunyai tugas yang lebih besar iaitu untuk melihat kehidupan rakyat di kawasan itu tidak terabai.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment