Tuesday, April 21, 2015
Gereja Taman Medan Tiada Lesen Dan Tidak Pernah Mohon Permit – MBPJ
21 April 2015, Petaling Jaya : Para pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah
mengklasifikasikan gereja di Taman Medan sebagai tidak sah kerana ia
beroperasi tanpa lesen dan tidak pernah menghantar permohonan bertulis
untuk beroperasi sebagai tempat ibadat.
Portal berita The Star Online melaporkan bahawa Pegawai Perhubungan
Awam MBPJ Zainun Zakaria berkata pemeriksaan data lesen selama tiga jam
menunjukkan bahawa premis rumah kedai yang dijadikan sebagai gereja itu
‘tidak mempunyai lesen untuk dijadikan tempat ibadat’.
Data juga menunjukkan bahawa gereja yang mencetuskan kontroversi di
Metro Square PJS2B/3 itu tidak mempunyai permit untuk menaikkan tanda
salib di premis berkenaan.
Pada Ahad lalu, sekumpulan 50 orang penduduk telah berkumpul di luar
premis tersebut untuk memprotes tanda salib yang telah dipasang dan
mendesak agar menurunkannya.
Zainun berkata gereja itu perlu membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan lesen.
“Premis rumah kedai yang ditukar menjadi tempat ibadat atau pusat
meditasi perlu patuh pada Akta 133 Seksyen 70(12) dan permohonan
bertulis bersama perincian aktiviti perlu dihantar untuk mendapat
kelulusan.
“Pihak kami memerlukan pematuhan ini demi keselamatan orang yang menggunakan bangunan tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, semua rumah ibadat yang mahu memasang logo atau simbol
pada bangunan perlu mematuhi peraturan dan mendapat permit daripada
pihak majlis bandaraya.
“Ini termasuklah lambang bunga teratai, salib atau lain-lain. Semuanya memerlukan permit majlis bandaraya,” ujar Zainun.
Para pegawai MBPJ telah mengunjungi premis rumah kedai tersebut
semalam untuk menemui wakilnya namun tiada siapa berada di lokasi.
Dipetik daripada sumber : Awani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment