Monday, April 27, 2015

#PRKPermatangPauh: Di Sebalik Kenaikan 16.7% Tarif Air Pulau Pinang

lim guan eng naik tarif air
EDITOR MENULIS

28 APRIL 2015

Apabila kerajaan negeri Pulau Pinang, di bawah pemerintahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat keputusannya untuk menaikkan tarif air, ianya mengundang pelbagai reaksi masyarakat di Permatang Pauh.

Pokoknya, poket rakyat akan terjejas dengan kenaikan 16.7% tarif air di Pulau Pinang.

Apa yang menjadi persoalan, keputusan Lim Guan Eng ini sangat kontra dengan amalan mereka sendiri terhadap dasar-dasar kerajaan pusat. Umum tahu akan sikap mereka yang sering membangkang apa jua keputusan yang dibuat. GST, tarif elektrik malah harga ayam juga sering menjadi modal mereka untuk menghasut rakyat. Namun, mengapa pula, pada dan ketika ini, Lim Guan Eng tidak mengendahkan rakyat, walhal, acapkali mereka cuba menjadi juara rakyat dengan menggunakan alasan kenaikan kos sara hidup yang tinggi? 

Apakah ini boleh dianggap sebagai satu unsur sabotaj dalam usaha kerajaan pusat untuk menurunkan harga barangan?

Lucu, apabila mereka sendiri menaikkan tarif air, tetapi pada masa yang sama menentang perlaksanaan GST kononnya membebankan rakyat. Bukankah perlakuan ini boleh dianggap songsang?

Dengan janaan pendapatan yang lebih tinggi, saya harap ianya digunakan untuk rakyat, dan bukannya invdividu-individu tertentu termasuklah penerima elaun ribuan ringgit di bawah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang masih enggan memberi sebarang komentar berhubung kenaikan tersebut.

Cuba untuk memahami strategi Lim Guan Eng, saya dapati apa yang dilakukan ini sebenarnya adalah satu pertaruhan yang besar. Samada percaya atau tidak, keputusan ini boleh dianggap sebagai eksperimentasi Lim Guan Eng terhadap sokongan rakyat Pulau Pinang ke atas dirinya. “Focus Group” nya ialah pengundi Permatang Pauh yang terdiri dari kira-kira 70% pengundi Melayu, 20 % Cina dan 10% lain-lain.

Lim Guan Eng sedang menilai, sejauh manakah keputusan ini akan memberi impak ke atas pemerintahannya, atau pengundi Permatang Pauh terus setia untuk bersama “khalifah” mereka. Situasi menang-menang sedang menanti dirinya.

Pertama, jika Wan Azizah kalah, maka Pakatan Rakyat akan dikemudi oleh ketua pembangkang yang baru. Antara Hadi Awang dan Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang, yang mana satu dilihat lebih dominan dalam meraih sokongan sekutu? Siapa pula yang mampu mewakili PKR? Kerusi Permatang Pauh bukan milik DAP, maka ego Lim Guan Eng tidak akan tercalar. Malah, saya tidak akan terkejut sekiranya dia menyalahkan pengundi Permatang Pauh sekiranya PKR kalah kelak.

Kedua, jika menang, maka dia akan terus berkuasa, dan ia akan memberinya panduan, untuk terus melaksanakan keputusan-keputusan yang lebih drastik.

Menaikkan tarif air agar dapat mengurangkan penggunaan air. Saya sedang membayangkan, apakah reaksi rakyat sekiranya justifikasi seperti itu dilafazkan oleh Ahmad Maslan, atau Hasan Malek. Mampukah rakyat bersikap adil?

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi-pnVUWqM5UTE1EWxAVRNUKHY0fTwjYARw6yPYJ3_XJ8UPU-RNR2bo9hGL6vGPXcSjx2DXdckLiVc2DtaHU0TAAesiM6GggWAj6d-A-ct7K6iIAezXduF3yVdbDnLCsJgrEmjbCWvoUg56/s1600/IMG_2856+Syamsul+Special.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment