Tuesday, April 28, 2015

Hutang Kerajaan Persekutuan Masih Pada Tahap Boleh Diurus

29 April 2015, Putrajaya : Jelas sekali kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan masih pada tahap boleh diurus, namun ada pihak yang menggunakan angka keseluruhan hutang Malaysia yang lebih tinggi, untuk mewujudkan salah tanggapan bahawa situasi itu di luar kawalan.

Ada yang melempar tuduhan bahawa hutang luar melonjak dengan ketara walaupun hutang luar Kerajaan Persekutuan pada akhir Disember 2014 berjumlah RM582.8 bilion atau 54.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal masih boleh diurus.
http://www.tradingeconomics.com/charts/malaysia-government-debt-to-gdp.png?s=mysdebt2gdp
Sebenarnya, hutang luar negara – bukan Kerajaan Persekutuan – telah meningkat kepada RM740.7 bilion pada suku ketiga tahun lepas berbanding RM41.5 bilion pada 1990 dan RM196 bilion pada akhir 2013.

Namun, seperti yang diterangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa ‘peningkatan drastik itu disebabkan oleh pentakrifan semula hutang luar sejak suku pertama 2014, selari dengan syarat pelaporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Berikutan pentakrifan semula itu, hutang luar kini termasuk pinjaman luar pesisir oleh Kerajaan Persekutuan, Perusahaan Awam dan Sektor Swasta selain pegangan hutang sekuriti, deposit dan kredit perdagangan dalam Ringgit oleh bukan pemastautin.

Inilah jumlah hutang Malaysia atau hutang negara yang jauh lebih besar berbanding hutang Kerajaan Persekutuan.
http://www.siteselection.com/issues/2012/may/images/KualaLumpurCMS.jpg
Hutang luar yang lebih tinggi menerusi pentakrifan baharu itu menunjukkan tahap pegangan hutang sekuriti dalam ringgit oleh bukan penduduk, yang menyumbang hampir dua pertiga daripada peningkatan hutang luar Malaysia.

Ini disebabkan oleh daya tarikan dan keterbukaan pasaran kewangan Malaysia.

Pada masa yang sama, pentakrifan baharu ini membolehkan kerajaan menilai pendedahan risiko dengan lebih baik ke atas bukan penduduk.

Namun, perbahasan bahawa hutang luar yang tinggi dan mengaitkannya dengan hutang Kerajaan Persekutuan menyebabkan salah tanggapan bahawa hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat dengan ketara dan di luar kawalan.

Sebaliknya, hutang Kerajaan Persekutuan boleh diurus dengan sebahagian besar hutang bertempoh sederhana dan panjang dan lebih 40 peratus dalam Ringgit, menurut Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2014.

Ini seperti yang diterangkan oleh Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada seminar baru-baru ini bahawa ‘tahap hutang luar yang boleh diurus dengan majoriti hutang bertempoh sederhana dan jangka panjang, dan lebih daripada 40 peratus dalam dominasi ringgit’.

Dan, walaupun kedudukan hutang Malaysia disalah lapor, ekonomi Malaysia dijangka kembali mencatat pertumbuhan kukuh 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2015, disokong oleh peluasan mampan permintaan domestik ketika asas domesti kukuh dan sektor eksport yang berdaya tahan.

Ketua Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd, Manokaran Mottain berkata hutang kerajaan Persekutuan dijangka kekal dalam kedudukan boleh diurus selagi kerajaan meneruskan langkah penyepaduan fiskal dan mencapai sasaran bajet seimbang menjelang 2020, dan pertumbuhan ekonomi terus sihat.

Manokaran berkata hutang kerajaan kepada nisbah KDNK ditambat pada 55 peratus, manakala pada 2014 angka itu mencatatkan 54.5 peratus.

“Oleh itu, mekanisme kawalan oleh pengawal atur, Bank Negara dan kerajaan mesti terus dipertingkat,” katanya.

Beliau berkata penarafan kredit negara Malaysia oleh Moody’s dan S&P kekal dalam gred pelaburan ‘A-‘ dan klasifikasi unjuran kekal stabil.

Walaupun cadangan Fitch Rating’s untuk menurunkan penarafan, sentimen pelabur ke atas Malaysia masih kukuh, dibuktikan daripada penyertaan penuh dalam terbitan Sukuk global Malaysia bernilai US$1.5 bilion (RM5.4 bilion), katanya.

“Pada masa ini kerajaan berjaya mengurus paras hutang kurang daripada had yang ditetapkan sendiri pada 55 peratus KDNK,” kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Kira-kira 97 peratus jumlah hutang kerajaan persekutuan dikumpul daripada sumber domestik, katanya.

Dalam kedudukan ini, beliau berkata risiko kredit adalah rendah memandangkan kerajaan dapat mengumpul hutang mata wang tempatan dengan mudah.

Afzanizam berkata kerajaan berjaya menyepadukan kedudukan fiskalnya sejak awal 2000 dan paras terendah, 39.8 peratus KDNK, dicatat pada 2008.

Namun, krisis kewangan dunia 2007 dan 2008 mendorong kerajaan mengambil langkah perlu dengan memperkenal pakej rangsangan fiskal pada 2008 dan 2009.

Hasilnya negara dapat pulih dengan cepat dengan KDNK berkembang 7.4 peratus pada 2010 selepas menguncup 1.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam konteks ini, peningkatan jumlah hutang negara itu wajar, katanya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan & Strategi (ASLI), Tan Sri Michael Yeoh berkata hutang kerajaan masih pada paras boleh diurus dan tidak banyak masalah disebabkan tahap itu boleh diterima berbanding negara lain.

“Yang penting, keupayaan kerajaan untuk membayar hutang, dan saya yakin keadaan itu boleh ditangani,” katanya.

Dipetik daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment