Wednesday, April 22, 2015

Keberhasilan Dibawa Pembangkang Di Permatang Pauh Boleh Dipersoal – Najib

22 April 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun berkata tahap keberhasilan yang dibawa oleh wakil rakyat pembangkang di kawasan Parlimen Permatang Pauh susulan beberapa pilihan raya kecil (PRK) lepas, boleh dipersoalkan.

Beliau berkata berdasarkan hakikat itu, pengundi di kawasan berkenaan seharusnya memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi Permatang Pauh dalam PRK yang dijadualkan 7 Mei ini.

“Kita harap pengundi di Permatang Pauh akan melihat kepada soal masa depan mereka berdasarkan keberhasilan (yang tidak seberapa) itu dan melihat BN sebagai alternatif kepada mereka,” katanya dalam temu ramah bersama media di sini hari ini.

Najib, yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO, menjangka PRK Permatang Pauh akan lebih sengit berbanding PRK Parlimen Rompin di Pahang.

Namun, katanya, BN akan mencuba sedaya upaya untuk memenangi kerusi Parlimen di Pulau Pinang itu.
NAJIB RAZAK / YAYASAN PESARA KERAJAAN
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja bagi anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipohon melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.

Menyentuh PRK Rompin yang ditetapkan pada 5 Mei, Najib berkata BN tidak akan memandang mudah cabaran pihak lawan.

Perdana Menteri bagaimanapun yakin BN boleh menunjukkan prestasi menggalakkan pada PRK Rompin dan seterusnya mengekalkan kerusi Parlimen itu berdasarkan kerja keras semua pihak dalam parti.

“BN telah membuat persiapan yang rapi, jentera pilihan raya kita di kedua-dua kawasan, kesiapsiagaan mereka baik dan semangat mereka tinggi, malah kerja-kerja awalan telah mereka lakukan.

“Soalnya sama ada kita boleh tambah majoriti di Rompin …(kita) jangan anggap mudah,” kata Najib.

PRK Parlimen Rompin diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, pada 4 April lalu.

Ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu iaitu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad susulan penamaan calon hari ini.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment