Monday, April 20, 2015
Di Sebalik Kunjungan Mahabbah “Politik Islam” DAP Di Bumi Anbiya’
EDITOR MENULIS
21 April 2015
“Direct Approach” dari DAP dengan
memanipulasikan idea untuk belajar politik Islam sememangnya mudah
dibaca, itu pun kepada mereka yang mahu berfikir. Terus terang penulis
katakan, saya harus hormat dengan sikap mereka yang tidak
bersembunyi, mengakui kepentingan untuk meracuni pemikiran
pelajar-pelajar kita di sana, yang majoritinya pro kepada PAS.
Setuju atau tidak, tahaluf siyasi yang
merantai PAS selama ini telah membuka ruang dan peluang untuk DAP
mengenalpasti punca, dan lokasi pengkaderan tetap buat PAS. Bijak,
maklumat berkenaan bukan untuk menguatkan lagi PAS selaku sekutu, tetapi
digunakan untuk menyebarluaskan dakyah serta pengaruh DAP, atas nama
“politik Islam”.
Kita terpaksa akui betapa DAP memahami
bahawa cara terbaik untuk meraih sokongan politik, adalah bermula dari
golongan masa hadapan. Kunjungan ini adalah sebagai “jambatan” masa
hadapan, juga sebagai “modus operandi” kepada pimpinan DAP yang akan
datang. Asas strategi telah dipatrikan, agar tidak dilupai oleh pemimpin
akan datang untuk mengaplikasi sekiranya berpeluang berbuat demikian.
Apa yang tersirat ialah, DAP sudah mula
hilang percaya, atau sememangnya tidak pernah percaya kepada PAS selama
ini. Dalam konteks “pool of voters”, seharusnya ia menjadi milik mutlak
PAS. Namun, DAP mahu mereka yang memegang tali gembala, dan bukannya
PAS. Oleh yang demikian, kita dapat perhatikan langkah ini ibarat
“mencuri” pasaran PAS.
Ia mungkin didorong oleh penentangan kuat
golongan muda di dalam PAS, yang dapat dilihat melalui dewan pemudanya,
pada muktamar-muktamar sebelum ini. Suara menghentam golongan
Anwarinas, dan pro kepada Hadi Awang menunjukkan DAP harus berbuat
sesuatu; menabur benih tipu daya di dalam “kolam” pengkaderan PAS
sendiri.
Saya masih ingat, menjelang PRU13,
rakyat dimomokkan dengan mesej tipu daya yang menjual Islam itu sendiri,
apabila Lim Guan Eng dikhabarkan bakal memeluk Islam selepas PRU.
Sehingga ke hari ini, Lim Guan Eng masih berstatus bukan Islam, malah
nasib malang orang Islam dan Melayu di Pulau Pinang bukanlah rahsia.
Itu kelemahan orang Islam, yang
seolah-olah dipukau sekiranya agama mereka dijadikan modal politik,
tanpa belajar dari apa yang pernah dilalui oleh sebuah penempatan melayu
yang bergelar Temasek suatu ketika dahulu.
Saya percaya, ramai yang masih teguh
pegangannya sehingga sekarang terhadap tipu daya tersebut. Pesan
penulis, di antara bijak dan berbaik sangka, letakkanlah kedua-duanya di
tempat yang sepatutnya.
Jangan melulu.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment