Wednesday, April 29, 2015

“Dok Mengharapkan Kipas Merata Pun Tak Guna” – Bekas ADUN Seberang Jaya

29 April 2015, Permatang Pauh : Bekas ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Haji Omar Shah berpandangan bahawa calon Barisan Nasional (BN) mampu untuk mencipta kejutan di dalam pilihanraya kecil (PRK) di Permatang Pauh kali ini memandangkan kriteria-kriteria calon BN yang tidak mempunyai sebarang isu, mempunyai latar belakang yang baik serta merupakan anak tempatan di kawasan ini.

Jelas beliau, pucuk pimpinan di peringkat pusat dan di peringkat bahagian membuat satu keputusan yang baik kerana seorang calon yang tidak mempunyai isu langsung yang boleh dijadikan bahan modal kempen pihak pembangkang.

“Rakyat Permatang Pauh sudah tentunya memberikan penilaian yang perhatian yang sewajarnya kerana calon BN untuk parlimen Permatang Pauh ini langsung tidak ada isu yang boleh dikaitkan dengan beliau. Kita boleh tengok latar belakangnya yang berasal dari keluarga yang susah, maknanya beliau akan memahami apabila rakyat menceritakan kesusahan kepadanya.
arif-shah-omar-shah-bekas-adun-seberang-jaya
“Bagi saya rugilah sekiranya warga Permatang Pauh menolak seorang calon yang lengkap daripada sudut personaliti, akademik dan juga warga tempatan yang tinggal di situ. Lagipun, tiga DUN di kawasan ini sudah pun dikuasai oleh pembangkang, maka sesuatu yang lebih baik sekiranya parlimen diberikan kepada BN.

“Ini bermakna rakyat di Permatang Pauh mempunyai dua saluran untuk mengadu dan memberitahu sebarang permasalahan mereka. Dua saluran sudah tentulah lebih baik dari satu saluran. Orang Cina dan India juga akan mengambil peluang dalam PRK ini untuk memilih calon BN kerana mereka akan mendapat pertolongan dari kerajaan pusat dalam sebarang masalah yang mereka hadapi,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Selain itu beliau juga melihat calon pihak pembangkang, Dr Wan Azizah juga mempunyai beban amanah dari rakyat Kajang di Selangor yang sudah terbeban di bahunya apabila dipilih sebagai wakil rakyat di Dun tersebut.

“Saya kira, tidak ada salahnya pengundi di Permatang Pauh untuk mencuba calon dari BN untuk jangka masa dua tahun setengah ini. Daripada dok mengharapkan kipas merata pun tak guna juga. Banjir di Kajang pun tak siapa jaga sekarang ni sebab beliau sibuk berkempen di kawasan ini.

“Silap-silap dia letak jawatan dah siapa pula yang nak dicalonkan untuk bertanding di kawasan ini. Akhirnya, pengundi Permatang Pauh juga yang menjadi mangsa sentiasa ada pilihanraya kecil di kawasan ini. Jadi, berdasarkan faktor-faktor itu, ada kemungkinan calon BN kali ini mampu untuk memberikan kejutan dalam PKR kali ini, “ akhiri beliau.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment