Wednesday, April 29, 2015

Pusingan “U” Pas Hanya Wayang Sandiwara Pimpinan Atasan Pembangkang

29 April 2015, Permatang Pauh : Tindakan Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang membuat pusingan “U”  dengan mengubah pendirian mereka untuk menyokong dan membantu kempen calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya sudah dijangkakan, demikian menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Secara peribadi Zainal meluahkan rasa simpati terhadap Pas yang disifatkan beliau hanya diperkudakan oleh Dap dan juga PKR demi mencapai agenda politik peribadi kedua-dua parti tersebut.

“Saya simpati melihatkan nasib Pas di dalam pakatan pembangkang. Bagi saya, tiap-tiap parti itu mempunyai prinsip dan maruah tersendiri. Presiden Pas,  secara terang-terang telah diserang oleh kepimpinan Dap dan PKR malah disifatkan sebagai pemimpin yang tidak boleh memberikan kerjasama di dalam pakatan pembangkang dan meluahkan hasrat untuk memutuskan hubungan dengan Haji Hadi.

“Sekiranya kita memutuskan hubungan dengan presiden sesebuah parti, ini bermakna kita juga putus hubungan dengan parti tersebut. Namun apa yang peliknya, Dap dan PKR  mahu memutuskan hubungan dengan presiden Pas tetapi dalam masa yang sama masih mahu menjalinkan hubungan dengan parti Pas itu sendiri.
PENANG 24 April 2015. Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) berkata sesuatu kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebelum diumumkan sebagai calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh  di majlis pengunguman calon PKR di SPArena, Seberang Jaya di sini. NSTP/Danial Saad
“Jadi dalam hal ini jelas bahawa niat Dap dan PKR adalah untuk memperkudakan ahli-ahli Pas dari sudut jentera dan mempergunakan pengaruh politik Pas terhadap orang Melayu untuk mencapai cita-cita politik mereka menumbangkan BN dan menguasai Putrajaya,” jelasnya kepada UMNO-Online dalam satu temuramah di Bilik Gerakan BN di Perda City Mall, Permatang Pauh.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakan-rakan yang berada di dalam Pas agar menyedari akan perkara ini di mana hakikatnya Dap dan PKR hanya mempergunakan mereka untuk kepentingan politik semata-mata tanpa mempedulikan prinsip dan maruah perjuangan Pas itu sendiri.

“Bagaimanapun, saya yakin bahawa ahli-ahli Pas diperingkat akar umbi, khususnya di kawasan sekitar Permatang Pauh ini sedar akan perkara ini dan dapat menilai dengan fikiran rasional dan matang. Saya yakin mereka tahu bahawa Dap dan PKR tidak menghormati prinsip perjuangan Pas dan jalinan ini hanya berdasarkan keperluan mereka terhadap pengaruh Pas kepada pengundi-pengundi Melayu"

“Jika Dap dan PKR menghormati prinsip perjuangan Pas, maka sudah pastilah mereka akan menyokong perjuangan hudud yang dibawa oleh parti tersebut. Tetapi kita boleh lihat apa yang berlaku hari ini, apabila Pas membawa isu hudud,  parti mereka dihina. Presiden mereka diperkotak katikkan oleh rakan kongsi mereka sendiri.

“Malah belum pun lagi hudud di bawa masuk ke parlimen, PKR dan Dap sudah mengeluarkan arahan agar ADUN dan Ahli Parlimen mereka tidak memberikan sokongan terhadap usul tersebut. Tindakan mereka ini jelas menghina prinsip perjuangan rakan kongsi mereka sendiri.

“Tetapi bila di dalam pilihanraya, mereka mahukan pertolongan Pas untuk meraih sokongan. Minta tolong. Macam perumpamaan orang Melayulah, muka tak malu. Tetapi yang pelik, bila mereka minta sokongan, pemimpin Pas negeri mahupun pusat hanya ikut saja tanpa membantah,” tegasnya.

Namun, beliau meluahkan keyakinan bahawa segala gambaran kerjasama yang diberikan oleh Pas kepada Dap dan PKR di PRK Permatang Pauh ini hanyalah sekadar keputusan pemimpin atasan saja.

“Di akar umbi, saya yakin ramai ahli Pas yang lebih matang berfikir, yang berilmu dan yang mempunyai hati dan perasaan.  Jadi ada kemungkinan besar bahawa ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi akan memperlihatkan isyarat bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan peringkat atasan yang tetapi mahu membantu PKR dan Dap yang secara terang-terang menolak hukum hudud.

“Saya menaruh keyakinan, bahawa ahli Pas di peringkat akar umbi oleh berfikir dengan matang. UMNO dan BN hanya mahu berusaha membawa kebaikan di Permatang Pauh. Kami bukan mahu bawa kerosakan.Takkan pula orang-orang Pas mahu menolak perkara-perkara yang baik? Saya yakin mereka akan terima perkara-perkara yang baik,”ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment