Thursday, April 23, 2015

Malaysia Mampu Uruskan Cabaran Ekonomi – Dr. Zeti

24 April 2015, Kuala Lumpur : Malaysia kini berada di kedudukan yang lebih kukuh bagi menguruskan cabaran-cabaran serta kejutan luaran yang datang hasil daripada penstrukturan semula ekonomi serta pembaharuan kewangan yang dilaksanakan dalam dua dekad kebelakangan ini.
http://www.ftseglobalmarkets.com/media/k2/items/cache/eef964b56feba29f2e49fd18f1f5df6c_XL.jpg
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, setelah lebih sedekad, negara telah membuktikan dari semasa ke semasa akan kemampuannya untuk keluar daripada kejutan seperti penurunan harga komoditi, krisis kewangan serta beberapa kekacauan yang timbul akibat pergolakan negara-negara luar.

Katanya, bagi setiap kejutan yang dihadapi oleh ekonomi Malaysia, negara telah merekodkan pemulihan yang baik.

“Bagi setiap kejutan utama yang dihadapi ekonomi negara ini, Malaysia telah mencatatkan pemulihan berbentuk ‘V’ yang pada dasarnya mencerminkan fleksibiliti ekonomi untuk menyesuaikan diri dan memberikan tindak balas awal menyeluruh,” katanya dalam ucapan di program Invest Malaysia 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar.

Zeti berkata, asas-asas yang kukuh di Malaysia juga termasuk kadar inflasi serta tahap pengangguran yang rendah, rizab antarabangsa yang mencukupi, kadar simpanan yang tinggi dan hutang luar negeri yang boleh diurus dengan majoriti hutang adalah untuk tempoh jangka sederhana dan panjang.

Tambahnya, situasi ekonomi ketika ini sememangnya mencabar berikutan ketidaktentuan perubahan dasar ekonomi global yang memberi impak ke atas aliran perdagangan dan modal Malaysia.

“Ekonomi negara diunjurkan untuk kekal stabil dengan pertumbuhan di antara 4.5 hingga 5.5 peratus, dipacu oleh permintaan domestik daripada sektor swasta yang kini mewakili 70 peratus daripada ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau turut berkata, kemunculan bidang pertumbuhan baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan semikonduktor dalam segmen yang kian berkembang pesat seperti automotif, peralatan perubatan dan telekomunikasi, telah membolehkan Malaysia untuk turut muncul sebagai sebuah negara rantaian bekalan global.

“Pelaburan dalam sektor pembuatan telah bergerak ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi, beralih daripada pengeluaran asas dan pemasangan untuk mengeluarkan barangan yang mempunyai aplikasi maju seperti dalam sektor automotif dan penjagaan kesihatan.

“Ini bukan sahaja menghasilkan peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi malah pelaburan ini membolehkan penggunaan automasi dalam ekonomi Malaysia,” jelasnya.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment