Monday, April 27, 2015
Pembangkang Kekal Formula Lama, Tagih Undi Simpati Dan Manipulasi Isu – Rahman
27 April 2015, Permatang Pauh : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul
Rahman Dahlan berkata, pakatan pembangkang masih lagi berpegang dengan
formula yang lama iaitu untuk menagih undi simpati dari rakyat dengan
mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sekali lagi sebagai calon di
Permatang Pauh.
Beliau turut menyatakan rasa hairannya bagaimana Parti Pakatan Rakyat
(PKR) boleh memilih seorang calon yang terpaksa berkejar antara
Selangor dan Pulau Pinang bagi berkhidmat kepada rakyat yang
diwakilinya.
“Dari situ pun kita sudah tahu bahawa beliau tidak akan mampu menjadi
wakil rakyat yang baik dan apatah lagi untuk memikul amanah bagi
kedua-dua kawasan yang diwakilinya.
“Jadi dalam hal ini, secara realitinya dan secara rasionalnya,
sekiranya rakyat di Permatang Pauh ini masih memilih wakil mereka yang
sama, maka tidak akan ada perubahan malah mungkin juga mereka ini
diabaikan ekoran kesibukan wakil rakyat yang terpaksa berkejar antara
dua buah negeri yang jauh jaraknya,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini
hari ini.
Seterusnya
Rahman yang juga merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan menegaskan bahawa ada beberapa isu yang menjadi
keutamaan BN dalam PRK kali ini khususnya berhubung hal-hal yang
melibatkan kepentingan semua.
“Jadi saya nak rakyat tahu bahawa dalam kempen PRK kali ini, kita
akan membawa isu-isu yang menjadi kepentingan kepada semua rakyat,
contohnya isu keamanan. Kita tahu bahawa sekarang ini pembangkang
berusaha untuk menghapuskan Akta Hasutan dan undang-undang baru
pencegahan keganasan (POTA).
“Apa yang saya nak beritahu di sini ialah pakatan pembangkang tidak
meletakkan isu keamanan negara sebagai keutamaan mereka apabila mereka
ini menyokong agar Akta Hasutan dan POTA itu dihapuskan, sedangkan dua
akta ini amat penting sebagai alat untuk mencegah sebarang niat jahat
yang bertujuan untuk melaga-lagakan kaum dan agama apatah lagi ia boleh
mencetuskan pertumpahan darah dan sebagainya,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang isu GST yang begitu hangat
dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu sehingga mencetuskan rasa
panik di kalangan rakyat.
“Di sini ingin saya jelaskan kepada rakyat bahawa GST itu adalah satu
sistem yang bagus untuk menstrukturkan semula ekonomi negara kita. Kita
tahu selama ini begitu ramai peniaga-peniaga yang tidak membayar cukai
dan kajian memperlihatkan lebih 30 peratus kegiatan ekonomi gelap yang
tidak membayar cukai.
“Jadi dengan adanya GST ini maka peniaga-peniaga yang mengelak dari
membayar cukai sebanyak 30 peratus ini tidak dapat lari dari
tanggungjawab mereka itu. Kita rugi berbilion ringgit ekoran aktiviti
ekonomi yang tidak membayar cukai ini tetapi mengapa pula pihak
pembangkang beria-ria menolak GST seolah-olah memihak kepada ekonomi
gelap atau bawah tanah yang jumlahnya berbilion itu.”
Ujarnya, cuma apa yang perlu rakyat tahu bahawa kerajaan sedang
berusaha memperbaiki makanisme untuk mengurangkan segala kepincangan di
dalam pelaksanaan GST ini dengan memahami bahawa cukai tersebut adalah
sumbangan yang tidak dapat dielakkan untuk membangunkan negara.
“Dalam pelaksanaan GST ini juga, saya tahu banyak rungutan rakyat
tentang kenaikan harga dan sebagainya, dan berdasarkan pengalaman negara
yang melaksanakan sistem ini, perkara ini tidak dapat dielakkan untuk
berlaku.
“Namun dalam masa enam bulan ke setahun, insya-Allah ianya akan
kembali stabil apabila penguatkuasaan akan dilakukan secara menyeluruh
terhadap peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga dalam
pelaksanaan GST ini,” akhiri beliau.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment