Tuesday, April 28, 2015

Calon BN Selesai Berkempen Hampir 60 Peratus Kawasan Rompin

27 April 2015, Rompin : Lebih 60 peratus kawasan Parlimen Rompin telah dilawati oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Arifin sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Rompin bermula sejak 22 April lepas.

Beliau berkata kawasan tersebut meliputi perkampungan tradisional, penempatan Orang Asli serta kawasan Felda merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Bukit Ibam, DUN Muadzam, dan DUN Tioman.

“Tinggal lagi 40 peratus pengundi yang belum saya lawati terutamanya di kawasan kampung-kampung kecil di daerah ini dan tempoh kempen yang tinggal seminggu saya yakin, semuanya tempat akan dapat saya lawati untuk menemui semua pengundi,” katanya.
PH03_260415_ORANG ASLI 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Titian Kasih bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Gadak, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan perjalanan jentera parti yang kini giat berkempen bagi memastikan BN berjaya meraih kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.

“Sambutan pengundi setakat ini juga tidak mengecewakan, malah saya turut berbangga kerana kempen berjalan dengan suasana aman tanpa sebarang pergaduhan melibatkan jentera kedua-dua parti,” katanya.

Sementara itu, Hasan berkata beliau mengamalkan pemakanan tambahan selain mengelak mengambil makanan berat pada waktu malam untuk memastikannya sentiasa cergas dan aktif sepanjang tempoh kempen PRK ini.

“Sebab itu saya tetap nampak muda kan berbanding calon parti lawan,” katanya bergurau.

Walaupun sudah berusia 62 tahun, Pemangku Ketua Bahagian UMNO Rompin itu berkata beliau masih bertenaga untuk meneruskan kempen walaupun waktu rehat yang terhad dan masa tidur yang tidak menentu sejak hari kempen bermula.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan itu yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment