Monday, April 20, 2015

Pengalaman Luas, Punyai Sentuhan Kepada Orang Ramai, Hasan Arifin Pilihan Tepat Di Rompin

20 April 2015, Rompin : Pemilihan Datuk Hasan Arifin, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Rompin mendapat reaksi amat positif daripada penduduk setempat.

Menurut penduduk tempatan, Mohamad Somim Salimullah, 51, dari Sungai Puteri, Kuala Rompin berkata, pemilihan Hasan adalah suatu tindakan yang amat tepat dan menunjukkan BN memahami kehendak masyarakat tempatan.

“Masyarakat di sini amat selesa dengan beliau. Ini kerana beliau mempunyai sentuhan dengan orang ramai yang sentiasa mesra dan mengambil berat akan kebajikan dan kehendak rakyat.

“Usia juga bukan penghalang untuk beliau meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis. Tambahan pula, pengalaman beliau dahulu yang pernah menjadi wakil rakyat dan Timbalan Menteri Besar Pahang, sudah pasti itu menjadi satu kelebihan kepada keseluruhan kawasan Rompin ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sebagai contoh bagaimana Hasan terlibat sama dalam membangunkan bandar Muadzam Shah semasa peringkat awal dengan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW).

“Kesannya, hari ini masyarakat menikmati manfaat pembangunan bandar ini dengan tegaknya insitusi-institusi pendidikan seperi Universiti Tenaga Nasional, Politeknik dan Maktab Rendah Sains Mara,” ujarnya.

Calon Barisan Nasional

Mohamad Somim juga mengharapkan Hasan mampu berkhidmat dengan cemerlang demi kemajuan dan kemakmuran di kawasan Parlimen Rompin.

Pengumuman Hasan sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Rompin telah diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan BN, di sini, hari ini.

Manakala menurut Md. Zainuri Idrus, 51, dari Tanjung Gemuk pula berpendapat, pemilihan Hasan dilihat tepat kerana beliau mampu meneruskan kecemerlangan Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, yang selama ini pun turut sama membangunkan kawasan di Parlimen Rompin ini.

“Beliau ini seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti, yang tahap kesetiaannya kepada parti tetap utuh walaupun ada satu ketika tidak terpilih sebagai calon pilihan raya.

“Saya juga dapat merasakan, parti pembangkang pasti akan tergugat dengan pemilihan calon yang diamat dikenali sebagai mesra rakyat di kalangan masyarakat setempat dan pasti juga mereka tercari-cari calon yang setanding,” katanya.

Bagi Rostiah Mohd Taher, 35, dari Bandar Tun Razak, Keratong pula mengatakan Hasan memang dikenali oleh golongan muda sebagai seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat akan pandangan dan kehendak mereka.

“Harapan saya agar beliau dapat meneruskan perjuangan Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis di dalam perancangan perumahan untuk golongan muda.

“Orang muda amat rapat dengan pemilikan perumahan mampu milik dan juga peluang pekerjaan yang lebih luas dan terbuka di sini,” katanya.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis di dalam nahas helikopter di Semenyih pada awal bulan April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 5 Mei dan pengumuman calon pada 22 April manakala pengundian awal pada 30 April ini.

Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dipilih sebagai ahli Parlimen Rompin dengan majoriti sebanyak 15,114 undi.

Dipetik daripada sumber : Media UMNO

No comments:

Post a Comment