Wednesday, April 29, 2015

PRK Rompin : Kerajaan Pahang Umum 5 Mei Cuti Peristiwa

29 April 2015, Rompin : Kerajaan negeri Pahang mengumumkan 5 Mei ini sebagai cuti peristiwa untuk seluruh negeri bagi memudahkan pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada tarikh itu.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dalam satu kenyataan ringkas kepada media berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco yang diadakan di Majlis Daerah Rompin di sini, hari ini. 

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dengan calon PAS Nazri Ahmad. 

PRK itu diadakan susulan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu. 

Pada pilihan raya umum lalu, Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai 53,294 pengundi berdaftar di Parlimen Rompin termasuk 545 pengundi awal yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka esok di empat pusat pengundian awal.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment