Wednesday, April 29, 2015

GTP Bukanlah Suatu Sandiwara

EDITOR MENULIS....

30 April 2015

Tidak terlaksananya Program Transformasi Kerajaan (GTP) kira-kira lima tahun lalu melalui ‘mes­yuarat tingkap’. Jauh se­ka­li diputuskan oleh orang kampung sambil menikmati teh tarik di kedai mamak. Sebaliknya GTP yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Julai 2009, terhasil secara berjemaah selepas bermusyawarah di Kabinet.
http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/5/59/Government-Transformation-Programme-GTP.jpg/220px-Government-Transformation-Programme-GTP.jpg
Pendek cerita, GTP adalah hasil daripada denyut nadi rakyat setelah kerajaan mendapat mandat. 

Lebih tepat lagi GTP adalah daripada rakyat untuk rakyat. Sedikit pencerahan bagi yang ingat-ingat lupa, GTP di bawahnya mengan­dungi tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Mengurangkan Jenayah, Membanteras Rasuah, Memastikan Pendidikan Berkualiti, Mempertingkatkan Ta­raf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar, Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar dan Menangani Kos Sara Hidup.

Saya ingin menyentuh me­ngenai pencapaian NKRA Mengurangkan Jenayah kerana perbuatan itu boleh dikatakan sebagai ibu kepada segala kejahatan yang mempunyai rantaian dengan kehidupan rakyat negara ini. Malah, jenayah juga merupakan antara topik yang paling digemari untuk dipolemikkan oleh segelintir pihak berkepentingan.

Menurut Laporan Tahunan 2014 GTP yang dibentangkan Najib malam kelmarin telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha-usaha gigih yang dijalankan bagi menjamin keselamatan rakyat. Kadar indeks jenayah menurun sebanyak 12.6 peratus pada tahun lalu, penurunan kedua tertinggi bagi tempoh lima tahun.

Ringkasannya adalah seperti berikut:

– 20 peratus kadar jenayah kecurian kenderaan turun.

– 11.7 peratus kes jenayah pecah rumah turun.

– 147,171 kes jenayah dibicarakan di mahkamah.

– 92.5 peratus tahap kepuasan orang ramai terhadap keupayaan pasukan polis.

– Program keselamatan bandar: 18,102 lampu dipasang, 2,460 cermin keselamatan dipasang, 34,813 tempat letak motosikal berkunci disediakan, 280.7km besi penghadang dipasang dan 1,165 papan tanda disertakan nombor talian bebas tol polis.

– 90 peratus daripada 1,233 banduan yang mengikuti program kaunseling dan nasihat pekerjaan berjaya mendapatkan pekerjaan, selain tiada seorang daripada mereka dipenjarakan semula.

Sebenarnya angka tidak pernah menipu, ini adalah hakikat meskipun masih tetap dimanipulasikan oleh segelintir. Komitmen kerajaan amat jelas dan konsisten dalam membanteras aktiviti jenayah, namun tanggapan segelin­tir masyarakat berhubung isu ini masih tidak dapat diubah.

Ini adalah lumrah alam, setiap sesuatu diciptakan berpasangan. Siang ada malamnya, hidup ada matinya, baik ada jahatnya, syurga semestinya pasangannya adalah neraka. Justeru, apa yang harus diusahakan kerajaan selepas ini adalah melaksanakan strategi untuk menangani persepsi itu.

Jangan sesekali dibiarkan kerajaan berseorangan. Hasil pencapaian indeks itu sewajarnya turut disokong melalui pelbagai program pencegahan yang dilaksanakan oleh pasukan keselamatan khususnya polis bersama-sama dengan sektor swasta. Seperti mendirikan solat, berseorangan akan dapat pahala tetapi sekiranya berjemaah lebih banyak pahala bakal diperoleh.

Sektor swasta harus bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha memerangi jenayah secara lebih efektif. Para majikan dicadangkan supaya mewajibkan setiap pekerja mereka terutamanya golongan wanita menjalani latihan pencegahan jenayah, sasarannya bukan sekadar untuk jangka masa pendek tetapi bertujuan untuk menuai hasil dalam tempoh masa yang panjang.

Dalam pada usaha kerajaan membentangkan Laporan GTP itu, terdapat juga cakap-cakap nakal semestinya di alam maya bahawa langkah itu hanya sandiwara dan tidak lebih daripada sekadar lakonan semata-mata. Kejujuran ke­rajaan dipersoalkan. Sekiranya ke­ra­jaan tidak ikhlas, adalah amat mustahil untuk kerajaan mengumumkan GTP kira-kira lima tahun lalu dengan turut menetapkan sasaran tertentu.

Jika betul apa yang ditohmahkan, bermakna kerajaan sengaja mencari pasal dengan menghulurkan leher untuk disembelih. Namun situasi itu tidak berlaku, sebagaimana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri semasa membentangkan laporan itu, “Walau dilintang dengan seribu aral, biarpun kita sedang diasak dan dikritik, sebagai sebuah kerajaan yang telus, kita tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah, malah akan tetap beristiqamah dan terus berjuang, merintis sejuta lagi jalan baharu demi kebaktian kepada rakyat dan negara.’’

Kepada penjenayah di luar sana, jangan sesekali mencuba untuk merosakkan rekod memberangsangkan itu kerana pasukan ke­selamatan terutamanya polis tidak pernah selesa berada dalam bilik berhawa dingin dan menyandar di atas kerusi empuk. Mereka akan tetap mencari, memburu anda semua sehingga ke lubang cacing.

Memetik lagu dendangan kumpulan Wings bertajuk Hukum Karma yang diterbitkan pada 1988:

"...Buat baik berpada-pada,
Kata orang tua,
Buat jahat jangan sekali
Engkau takkan rugi
Mulia dibalas syurga
Dosa kan sengsara
Ini hukum karma.."
Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjJ7DkHdE3Me1l5j4jyq8rQzts9Ch8HoHl48pDgDKJSNnm7vTE6-b-dHIS1DI2ltxMGRRtaagpuydFFo67Gw-Iv2nw84O5IXNjx8OOSuooP6Z2P0w2uL9qedA7UqZSe5yj41ETpffVagqo/s400/2012-01-21+00.53.18+2.png
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment