Wednesday, April 22, 2015

Krisis Pembangkang Makin Parah Tapi Tak Mustahil PKR Terpaksa Ampu Pas

22 April 2015, Permatang Pauh : Walaupun PKR menafikan wujudnya perselisihan faham antara parti itu dengan rakan sekutu mereka Pas, namun realiti politik di Permatang Pauh jelas memperlihatkan keretakan hubungan kedua-dua parti ini semakin parah.

Menurut Ketua Wanita UMNO Permatang Pauh, Rosni Salleh, Pas di Parlimen tersebut memang seakan-akan sudah berkerat rotan dengan PKR dek kerana keceluparan parti itu yang sering menghentam dan mengkritik pimpinan mereka sehinggakan Pas Permatang Pauh telah mengeluarkan kenyataan tidak mahu membantu PKR berkempen sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

“Kami di Permatang Pauh jelas dapat melihat kesungguhan Pas untuk memboikot PKR di PRK Permatang Pauh ini. Walaupun PKR menafikan wujudnya perselisihan faham antara mereka tetapi bagi saya penafian itu hanyalah untuk mengaburi mata pengundi di sini.

“Mereka ingin menunjukkan bahawa PKR dan Pas masih senada tetapi hakikatnya keretakan mereka semakin parah. Penyatuan Pas, PKR dan Dap dilihat semakin buruk bila Pas tekad untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

“Ini mendatangkan kemarahan kepada PKR dan Dap sekaligus menjadi punca terbesar perpecahan mereka,” ujarnya kepada UMNO-Online.
dn_12.1
Namun jelas Rosni, tidak mustahil sekiranya PKR secara tiba-tiba kembali mengampu Pas demi mendapatkan sokongan daripada parti itu kerana tanpa Pas sudah pasti PKR menghadapi masalah besar untuk berkempen malah mungkin akan gagal dalam mempertahankan kerusi Permatang Pauh.

Tambahnya lagi, walau apapun yang terjadi antara Pas dan PKR, yang penting adalah gerak kerja UMNO itu sendiri tidak tersasar.

“Kita tidak boleh mengambil kesempatan di atas perpecahan yang kita lihat ini kerana sudah terbukti pembangkang ini penuh dengan tipu muslihat. Sekarang mereka bergaduh tetapi bila tiba mengundi mereka bersatu.

“Jadi UMNO perlu terus fokus dalam gerak kerja mendekati pengundi di sini. Saya yakin, kita mampu untuk buat yang terbaik. Kemenangan di Permatang Pauh bukan sesuatu yang mustahil,” ujarnya lagi.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakannya sebagai ahli parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon oleh keluarga ketua pembangkang itu terhadap sabitan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment