Tuesday, April 21, 2015
Jangan Perbesarkan Isu Perkauman Dan Agama – Ketua Polis Negara
21 April 2015, Kuala Lumpur : Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
hari ini memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak
memperbesarkan isu sensitiviti agama dan kaum.
“Saya menyeru semua pihak termasuk media agar tidak menghangatkan
lagi isu ini … ia berkait dengan agama dan kaum, dan amat sensitif.
“Kalau kita semua sengaja mempermainkan isu ini, tidak mendatangkan
kebaikan kepada mana-mana pihak,” katanya pada sidang media selepas
menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian berhubung
lambing salib di sebuah gereja di Taman Medan, Petaling Jaya baru-baru
ini.
Khalid memberi jaminan segala laporan berhubung isu itu akan disiasat
tanpa bersifat berat sebelah dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Saya tidak risau kalau abang (terbabit dalam bantahan itu) saya juga
akan diambil tindakan atas apa juga kesalahan (jika ada) … saya amat
professional dalam hal ini … tidak mencampuri urusan siasatan yang
dijalankan oleh pihak polis Selangor.
“Jadi, jangan cuba mainkan sentimen ini, takut ada pihak yang akan
mengambil tindakan yang di luar jangkaan … isu ini sudah beransur reda,
cukuplah,” katanya.
Baru-baru ini, simbol salib di sebuah gereja di Taman Medan telah
diturunkan atas permintaan masyarakat dan dipersetujui oleh pastor
(gereja) itu.
Kehadiran abang Khalid yang merupakan ketua masyarakat di kawasan itu
dikatakan bagi menenangkan orang ramai daripada menjadi agresif dalam
perhimpunan membantah simbol salib di gereja berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Khalid meminta kepada penganjur perhimpunan
Bantah GST pada 1 Mei ini, agar berhubung dengan Ketua Polis Daerah Dang
Wangi bagi mendapatkan kebenaran lokasi yang dipersetujui.
“Mereka (penganjur perhimpunan) perlu memberikan kerjasama pada pihak
polis … seperti perhimpunan yang berlaku di Padang Merbuk lepas, ia
merupakan contoh amat baik dan boleh diikuti semua.
“Saya harap lokasi perhimpunan haruslah dipersetujui oleh Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan setelah mendapat kebenaran DBKL,
polis member kerjasama sepenuhnya dalam memastikan perhimpunan ini
berjalan lancar dan selamat,” katanya.
Khalid berkata jika keadaan sebaliknya berlaku, penganjur mesti bersedia menghadapi tindakan undang-undang.
Pada majlis itu, Ketua Polis Johor Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd
Shariff, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Pengarah JSJN Bukit Aman
yang baharu.
Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Haris Wong Abdullah yang memangku jawatan berkenaan sejak lima bulan lalu.
Sebelum ini, jawatan JSJN disandang Datuk Seri Nor Rashid Ibrahim,
yang kemudian dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Negara.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment