Tuesday, April 28, 2015

Muhyiddin Lancar Projek Naik Taraf Hospital Seberang Jaya

28 April 2015, Butterworth : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan projek menaik taraf Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang dijangka siap akhir tahun 2018 sebagai bukti keprihatinan kerajaan persekutuan meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada rakyat.

Muhyiddin berkata projek menaik taraf itu meliputi pembinaan bangunan baharu sembilan tingkat dengan kos RM400 juta dan projek lain termasuk menaik taraf jabatan kesihatan, dewan bersalin, pejabat pengurusan, stor perubatan serta membina pencawang elektrik voltan sederhana dengan kos RM22 juta.

Katanya projek menaik taraf hospital yang berusia 20 tahun itu adalah bukti kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan taraf perkhidmatan yang diperlukan rakyat.

“Bagi memenuhi hasrat yang diimpikan, kerajaan bertekad untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan dengan pelbagai usaha dan inisiatif. Kementerian Kesihatan akan terus berusaha mewujudkan penglibatan dan penyertaan komuniti dalam program promosi dan pencegahan penyakit,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran projek menaik taraf HSJ, di sini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh Suhaimi Sabudin.
BUTTERWORTH, 28 April -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan jururawat-jururawat selepas melancarkan Projek Naik Taraf Hospital Seberang Jaya hari ini. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam. --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Muhyiddin berkata projek menaik taraf itu adalah sebahagian daripada 13 projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang diluluskan untuk Pulau Pinang dengan peruntukan pembangunan besar bagi tempoh lima tahun bermula 2011 hingga 2015.

Beliau berkata di samping pembangunan kemudahan infrastruktur kesihatan, usaha juga dibuat untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan anggota kesihatan bagi memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih berkesan.

Katanya Kementerian Kesihatan akan terus berusaha menempatkan lebih ramai pakar dan pegawai perubatan di negeri ini dari semasa ke semasa dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berterusan.

“Bagi negeri Pulau Pinang, bilangan pegawai perubatan yang berkhidmat sehingga Mac 2015 adalah seramai 1,670 orang iaitu 89 peratus daripada bilangan 1,884 perjawatan yang wujud. Daripada bilangan itu, seramai 208 orang adalah doctor pakar manakala 1,462 orang adalah pegawai perubatan biasa.

“Jururawat yang berkhidmat sehingga Mac 2015 adalah seramai 4,274 orang iaitu 84 peratus daripada bilangan 4,793 perjawatan yang wujud,” katanya. Sementara itu, Subramaniam dalam ucapannya berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan lebih RM970 juta bagi tujuan menguruskan perkhidmatan kesihatan dan perubatan di negeri ini.

Beliau berkata peruntukan besar itu menunjukkan komitmen Kementerian Kesihatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik khusus untuk rakyat Pulau Pinang.

“Projek-projek yang dirancang ini diharap dapat meningkatkan ‘accessibility’ masyarakat kepada kemudahan kesihatan yang diperlukan. Projek-projek ini diharap akan dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang disediakan bukan sahaja kepada rakyat Pulau Pinang malah rakyat di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment