Tuesday, April 28, 2015
Kerajaan Terus Istiqamah, Berjuang
29 April 2015, Kuala Lumpur : Tidak berganjak atau menyerah kalah berdepan cabaran dan kritikan.
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau bersama-sama
timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet akan
tetap beristiqamah serta terus berjuang bagi merintis sejuta jalan
baharu demi berbakti kepada rakyat dan negara.
Perdana Menteri berkata, pentadbirannya tidak akan sesekali berganjak
atau menyerah kalah walaupun dilintang dengan seribu aral serta diasak
dan dikritik.
Menurut beliau, segala getir dan liku-liku cabaran yang ditempuhi adalah adat dan sunnah bagi mereka yang berjuang.
“Menurut Hamka dan seruan hikmat orang Bugis pula, dalam berjuang,
jikalau perahunya telah kita kayuh ke tengah, ia tidak boleh bersurut
pulang.
“Meskipun bagaimana besar gelombang yang melanda, biarpun kemudi
patah, biarpun layar robek, biarpun seribu kapal tenggelam di tengah
lautan, ia lebih mulia bagi kita tetap teguh berjuang daripada membalik
haluan pulang,” katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Program
Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2014
di Angkasapuri di sini malam ini.
Perdana Menteri turut menyeru kepada rakyat agar berfikir secara
matang dan tidak diselubungi emosi dalam menghakimi kerajaan dan
usaha-usaha murni yang dijalankan selama ini.
Beliau menekankan tentang betapa pentingnya semua pihak memiliki jiwa yang besar dalam perjuangan membangunkan tanah air.
Najib memberitahu, segala sengketa hendaklah dijauhkan manakala titik persamaan dicari demi kemakmuran negara.
“Yakin dan percayalah, apabila kebenaran telah memancar dan
menampakkan diri kelak, akan gugurlah segala nista dan tohmahan,”
ujarnya.
Beliau menambah, segala usaha yang dijalankan dalam GTP dan ETP
adalah antara bukti bahawa kerajaan tidak berwenang atau ‘syok sendiri’.
Sebaliknya, kata Najib, segala perencanaan adalah berdasarkan maklum balas dan proses perundingan pelbagai lapisan rakyat.
“Ini adalah asas kepemimpinan saya. Menyelami dan memahami keperluan
rakyat amat penting dalam memandu saya untuk melaksanakan program yang
berkesan untuk seluruh rakyat,” jelasnya.
Malah, Perdana Menteri menjelaskan, kaedah ‘Big Fast Results’ dalam
GTP dan ETP yang dilaksanakan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan
(Pemandu) berjaya menarik perhatian dunia.
Menurut beliau, Tanzania kini mengguna pakai model dan khidmat
Pemandu dalam merencanakan agenda pembangunan di negara itu manakala
Afrika Selatan serta India sedang mempertimbangkan langkah serupa.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment