Tuesday, April 28, 2015
“Kita Kasi Undi Tapi Dia Tak Tolong Orang India” – Pengundi Permatang Pauh
28 April 2015, Bukit Mertajam : “Kita kasi undi tapi dia tak tolong orang
India. Tak dak bantuan langsung dari segi kebajikan. Kali ini saya rasa
harus bagi peluang kepada orang lain yang menunjukkan keikhlasan dalam
membawa perubahan,” kata seorang pengundi pilihan raya kecil Parlimen
Permatang Pauh.
V.Muniammah, 61, berkata beliau kecewa dan sedih kerana undi yang
diberikannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya umum
2013 lalu tidak membawa apa-apa makna walaupun wakil rakyat mereka itu
mendapat sokongan masyarakat India.
S.Victoria, 55, pula berkata tidak ada guna jika seorang wakil rakyat
petah membahaskan isu nasional namun tidak bijak mengurus kawasannya
serta menjaga kebajikan masyarakat setempat.
“Kalau isu setempat pun tidak dapat selesai macam mana mahu isu
nasional diselesai. Isu nasional tidak memberi kesan kalau masyarakat
setempat susah dengan keadaan setempat,” katanya.
R.Suresh, 25, berharap wakil rakyat mampu membawa pembangunan dan
peluang pekerjaan kepada anak muda serta memperbanyakkan aktiviti untuk
golongan belia.
“Aktiviti komersial banyak fokus di Seberang Jaya dan jika kita lihat
di kawasan perkampungan seperti Kampung Bagan Serai dan Sama Gagah,
tidak ada apa-apa kemudahan dan aktiviti untuk belia,” katanya.
Sementara Pengerusi Badan Perhubungan MIC negeri, M.Karuppanan
berkata bantuan kebajikan dan tempat ibadat, peluang pekerjaan dan
perumahan adalah antara isu setempat yang menyelubungi masyarakat India.
Katanya pemerhatian jentera MIC mendapati masyarakat India bersedia
untuk memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi
Sabudin setelah kecewa wakil rakyat sebelum ini tidak membela nasib
mereka.
“Mereka yakin BN mampu ‘deliver’ kerana sebelum ini mereka mendapat
kebajikan dan perhatian daripada kerajaan pusat dan mereka telah bosan
urusan keluarga yang dibawa bersama dalam berpolitik,” katanya.
Karuppanan berkata walaupun isu cukai barang dan perkhidmatan (CBP)
menjadi kebimbangan dalam kalangan masyarakat India, jentera MIC telah
digerakkan bagi memberi penjelasan tentang kebaikan sistem percukaian
itu.
“Kita memberi penjelasan kepada setiap masyarakat India di setiap
ceramah MIC supaya mereka memahami struktur percukaian itu. Kita
beritahu mereka GST sememangnya membebankan tetapi ia adalah untuk
manfaat jangka panjang,” katanya.
Masyarakat India merangkumi 6.32 peratus atau 4,532 orang daripada
71,890 pengundi berdaftar di Permatang Pauh dengan 3,811 daripadanya
bertumpu di Seberang Jaya.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh kali ini menyaksikan
pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail (PKR), Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman (Parti Rakyat
Malaysia).
Ia diadakan berikutan penyandangnya Anwar hilang kelayakan sebagai
wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan
diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya.
Hari pengundian ditetapkan 7 Mei.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment