Wednesday, April 29, 2015
BN Optimis Raih Majoriti Lebih 15,000 Undi – Muhyiddin
29 April 2015, Rompin : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
optimis Barisan Nasional (BN) mampu meraih majoriti melebihi 15,000
undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, walaupun mengakui ia bukan
tugas mudah.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata keyakinan itu
berdasarkan kepada gerak kerja jentera parti yang kini berjalan lancar
dengan keseluruhan kawasan di parlimen berkenaan sudahpun dilawati untuk
bertemu dengan pengundi.
“Setakat hari ini, semua berjalan dengan baik, tidak ada masalah
antara jentera parti. Kita mahu ia dipertingkatkan lagi dan isu-isu
berbangkit seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Felda Global
Ventures (FGV), ekonomi, pekerjaan dan sara hidup telahpun kita
jelaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Yayasan Kebajikan Negara
(YKN) Dialisis Rompin di Pantai Hiburan, di sini hari ini, yang dibina
dengan kos RM1.5 juta.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Muhyiddin berkata gerak kerja jentera BN kini memasuki fasa kedua
yang disifatkan lebih kritikal, dan ia akan dijalankan dengan lebih
agresif supaya 53,294 pengundi berdaftar di Parlimen Rompin memahami
tentang isu-isu tersebut.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pengundi di parlimen berkenaan
supaya tidak mengambil mudah dengan tidak keluar mengundi kerana
mengandaikan BN mampu menang selesa pada PRK tersebut.
“Kita tidak mahu pengundi andaikan BN pasti menang dan ambil sikap
mudah sehingga tidak keluar mengundi, itu sahaja yang kita bimbang.
Kalau semua pihak bersikap begitu, kita akan hadapi masalah.
“Sehubungan itu, untuk tunjuk mereka masih menyokong perjuangan
kerajaan BN yang diwakili oleh calon kita (Datuk Hasan Arifin), kita
harap mereka akan keluar beramai-ramai dan (pengundi luar) pulang untuk
mengundi,” katanya.
Beliau berkata jentera BN telahpun dikerahkan untuk mengenal pasti
pengundi Rompin yang tinggal di luar, dan membawa mereka pulang untuk
menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 5 Mei ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata langkah kerajaan Pahang mengumumkan
cuti peristiwa pada hari pengundian juga diyakini dapat membantu
meningkatkan lagi jumlah penduduk Rompin untuk keluar mengundi.
“Kalau ikut trend, memang PRK akan ada penurunan (jumlah keluar
mengundi), kalau pilihan raya umum (PRU), 85 peratus yang keluar
mengundi…PRK ini, ia akan turun.
“Bagaimanapun kita akan cuba usahakan (agar lebih ramai pengundi
Rompin yang tinggal di luar untuk pulang) dan saya percaya Suruhanjaya
Pilihan Raya pun sudah keluarkan kenyataan menggalakkan pengundi luar
untuk pulang,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment