Tuesday, April 21, 2015
Veteran UMNO Susun Strategi “Keluargaku Pengundi BN” Untuk Dua PRK
21 April 2015, Putrajaya : Veteran UMNO Malaysia mengembleng strategi
dengan slogan “Keluargaku Pengundi BN” bagi membantu kempen calon
Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin,
Pahang dan PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Setiausaha Agungnya Datuk Mustapha Yaakub berkata dengan berpaksikan
slogan itu, veteran UMNO akan memastikan setiap anggotanya dapat
menjamin bahawa isteri/suami, anak atau menantu mengundi calon BN dalam
kedua-dua PRK itu.
Katanya veteran UMNO Malaysia mempunyai lebih 5,500 anggota di Rompin dan lebih 4,000 anggota di Permatang Pauh.
“Mereka adalah pengundi tegar BN dan veteran akan memastikan setiap anggota akan keluar mengundi calon BN,” katanya hari ini.
Mustapha berkata gerak kerja yang disusun oleh organisasi itu
bersesuaian dengan peranan veteran yang terdiri daripada anggota dan
pengundi yang berumur 60 tahun ke atas.
Katanya veteran UMNO yakin BN akan menang mudah dalam PRK Rompin
selain mempunyai harapan merampas kerusi Permatang Pauh jika semua pihak
bekerjasama.
Mustapha yang tidak menolak kemungkinan pembangkang akan menggunakan
pelbagai isu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebagai modal
meraih sokongan, yakin BN juga bersedia untuk memperjelaskan isu
berbangkit melalui ceramah dan kempen yang akan dijalankan.
“Pembangkang juga tidak mempunyai jalan mudah kerana mereka berdepan dengan masalah dalaman,” katanya.
PRK Rompin akan diadakan pada 5 Mei selepas penyandangnya Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, 10 April
lalu.
PRK Permatang Pauh pula pada 7 Mei ini dan perlu diadakan berikutan
keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen
pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri
Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua
pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment