Monday, April 20, 2015
Taktik Kotor Cemari Pemilihan PAS
21 April 2015, Kuala Lumpur : Kempen pemilihan Pas yang sedang berlangsung
ketika ini semakin panas dan tercemar dengan taktik kotor
memburuk-burukkan calon-calon yang bertanding merebut jawatan di
peringkat Pusat serta kawasan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi berkata, perbuatan
itu dilakukan secara meluas menerusi media sosial seperti Facebook dan
surat layang.
Menurut beliau, antara taktik yang digunakan termasuk menuduh
golongan yang menyanggah keputusan Majlis Syura Ulama Pas sebagai
pengkhianat parti dan melabelkan pemimpin-pemimpin tertentu sebagai
ortodoks.
“Saya bimbang perbuatan sebegini akan mendedahkan individu-individu
yang terlibat dengan saman fitnah yang mungkin difailkan oleh mana-mana
pemimpin yang terjejas reputasinya.
“Walaupun tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka, ia tidak
boleh menghalang daripada tindakan undang-undang diambil ke atas mereka
yang menyebarkan fitnah,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Agung
Pas di sini hari ini.
Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 di Kuala Selangor Jun ini dijangka
menyaksikan pertembungan sengit antara golongan ulama dan Anwarinas
dalam merebut jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden
serta Naib Presiden.
Penyokong kedua-dua belah pihak dipercayai saling menyerang antara
satu sama lain sebagai salah satu strategi kempen untuk menaikkan
pemimpin yang mereka sokong.
Yang terbaharu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad
melalui laman blog beliau pada 16 April lalu melabelkan golongan
proulama sebagai geng juhala atau bermaksud jahil.
Kritikan yang berunsur serangan peribadi terhadap kepemimpinan ulama
Pas turut dilontarkan melalui ruangan komen dalam laman Facebook rasmi
Pas Pusat, Dewan Ulama Pas dan Dewan Pemuda Pas.
Sementara itu, Asmuni memberitahu, sebanyak lima aduan berhubung
pelanggaran peraturan pemilihan parti telah diterima setakat ini.
“Semua aduan tersebut melibatkan pemilihan Pas kawasan dan pengadu
mendakwa, nama-nama calon yang bertanding jawatan Yang Dipertua,
Timbalan Yang Dipertua serta ahli jawatankuasa tercicir daripada
senarai,” jelasnya.
Beliau berkata, aduan rasmi telah dikemukakan oleh Dewan Pemuda Pas
Tumpat dan Pas Kawasan Puchong serta Subang manakala Pas Kawasan Kuala
Langat dan Kapar akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment