Tuesday, April 28, 2015
Permatang Pauh Perlukan Wakil Rakyat Sepenuh Masa – Muhyiddin
28 April 2015, Butterworth : Penduduk Permatang Pauh memerlukan wakil
rakyat sepenuh masa yang boleh menyelesaikan masalah rakyat, bukannya
anggota Parlimen yang hanya sesekali berada di kawasan itu.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata anggota Parlimen atau wakil rakyat yang hanya sesekali menjenguk
kawasan tidak boleh membantu menyelesaikan masalah penduduk di sesebuah
kawasan.
“Kalau saya jadi penduduk Permatang Pauh saya perlukan wakil saya
berada di sini. Tanyalah sesiapa sahaja yang berada di Permatang Pauh…
apakah mereka mahu wakil rakyat mereka yang menjaga di Kajang lepas itu
sebulan sekali datang ke sini,” kata timbalan perdana menteri kepada
pemberita di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Strategi PKR Sin Tze Tzin berkata soal Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi khidmat sebagai wakil rakyat di dua
kawasan berbeza bukan menjadi isu kepada parti itu.
Malah, katanya, Presiden PKR itu selaku calon pilihan raya kecil
(PRK) Parlimen Permatang Pauh yang juga anggota Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Kajang di Selangor masih boleh memberi perkhidmatan baik kepada
penduduk Kajang dengan bantuan kerajaan pimpinan PKR di Selangor.
Muhyiddin berkata lebih 71,000 pengundi di Permatang Pauh memerlukan
wakil rakyat yang boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam menyelesaikan
masalah rakyat di kawasan parlimen itu.
“Pastinya kerja-kerja yang nak dilaksanakan tidak berkesan. Kalau dia
kata akan diuruskan menteri besar Selangor, kalau macam tu tak payah
bertanding lah di sana (Kajang)… letak saja Azmin (Ali) jaga kawasan tu,
jadi tak ada wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan rekod Dr Wan Azizah di Kajang menunjukkan
beliau tidak turun padang, sedangkan janjinya sebelum itu sewaktu
‘Kajang Move’ (Langkah Kajang) adalah untuk menangani masalah rakyat dan
banjir di Kajang.
Keadaan itu, katanya, berbeza dengan calon Barisan Nasional Suhaimi
Sabudin yang pastinya akan berada sepanjang masa di kawasan Parlimen
Permatang Pauh untuk menabur bakti kepada penduduk kawasan itu.
“Kalau Suhaimi di sini saya kata awak duduk di sini sepenuh masa,
rumah pun dalam kawasan, apa isu masalah pembangunan, masalah banjir,
kesihatan, tempat ibadah, isu-isu ekonomi dan peluang pekerjaan pasti
boleh ditangani segera.
“Kawasan ini memerlukan wakil rakyat sepenuh masa yang boleh memberi
tumpuan dan perhatian terhadap kawasan itu, jauh lebih baik daripada Wan
Azizah yang tak ada masa langsung,” kata Muhyiddin.
Mengenai dakwaan pembangkang bahawa kempen pilihan raya mereka banyak
‘diganggu’ Polis berikutan Pengarah Pilihan Raya PRK Permatang Pauh
bagi BN adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
Muhyiddin berkata polis hanya bertindak mengikut peraturan yang ada.
“Kalau tindakan itu mengikut peraturan, mereka (polis) tidak akan ambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, timbalan perdana menteri melancarkan projek naik taraf Hospital Seberang Jaya yang dijangka menelan kos RM400 juta.
PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat
penjuru antara Suhaimi, Wan Azizah, Azman Shah Othman (Parti Rakyat
Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan
menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar, yang merupakan
Anggota Parlimen Permatang Pauh sebelum ini, melalui anggota
keluarganya, sekaligus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil
rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment