Tuesday, April 21, 2015

Elak Keliru Rakyat, KWSP Patut Kekalkan Status Quo

21 April 2015, Kuala Lumpur : Beberapa cadangan yang dibuat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, (KWSP) kebelakangan ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat.

Cadangan itu dikemukakan KWSP susulan kebimbangan ketidakcukupan simpanan persaraan di kalangan ahli dalam jangka panjang.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgZuje1cBHlm63ZBMWbO1GAoyWnTv45dmoIBK5Vo2_HQXeZ1L5zf_-JhMU3CgyRETHGoAO72CmfuJPdN52y0wi7M10MylsJtqHa7z_FeAzY38whaBavr6rc3jJGEa-yj40e47HE424r0YA/s1600/Pencarum-Kwsp-Tertipu.jpg
Belum pun reda isu pengeluaran pada usia 60 tahun, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP mengemukakan pula empat cadangan terbaru untuk didebatkan rakyat.

1. Memberi pilihan terhadap penyelarasan umur Pengeluaran Penuh dengan Umur Persaraan Minimum yang ditetapkan Kerajaan. Tiada perubahan dibuat terhadap pengeluaran pra-persaraan.

2. Penyelarasan amaun caruman minimum berdasarkan Gaji Minimum yang ditetapkan di bawah undang-undang berkaitan.

3. Melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75 sehingga 100 tahun

4. Memperkenalkan simpanan persaraan patuh Syariah sebagai tambahan kepada skim simpanan persaraan sedia ada. Ahli boleh membuat pilihan untuk bertukar kepada simpanan persaraan patuh syariah apabila ia diperkenalkan kelak.

Reaksi Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang tentunya diserbu rakyat di kawasan mereka serta menjadi tumpuan penerangan maklumat terbaru.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman berkata, cadangan-cadangan yang dilontarkan KWSP menimbulkan pelbagai keraguan dalam kalangan rakyat.

Sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dan sentiasa berada di kawasan, sukar baginya menjawab isu itu apabila pelbagai cadangan dikemukakan serentak dalam tempoh terdekat.

“KWSP tidak memberi penerangan kepada Ahli Parlimen dan tidak membekalkan sebarang maklumat, apabila berlaku perkara sebegini sukar untuk kita menerangkan kepada rakyat. 

Jangan buat rakyat panik dan marah kerana itu adalah wang simpanan persaraan mereka,” katanya.

Rakyat tambahnya, sudah biasa menggunakan wang KWSP untuk melakukan kerja ‘haji’ selepas bersara manakala sebahagian lagi mahu menyelesaikan pinjaman rumah dengan pihak bank.

Dua perkara itu tegasnya dekat di hati rakyat kerana kebanyakan mereka merancang hidup dengan tenang tanpa hutang dan dapat mengerjakan haji pada usia sedemikian.

“Tidak semua mampu pergi haji di usia muda, ada yang mengharapkan semata-mata wang simpanan itu, jadi KWSP harus peka dengan kehendak rakyat juga atau pencarum,” tambahnya.

Pendapat serupa turut disuarakan Ahli Parlimen Setiu, Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Beliau mahu opsyen lama dikekalkan kerana sehingga kini opsyen itu belum lagi memberikan masalah besar.

“Jika pencarum mahu menyambung simpanan hingga 60 tahun kerana masih bekerja, itu hak mereka. Lebih baik ikut kehendak pencarum bukannya diwajibkan. Ini wang rakyat, rakyat harus diberi pilihan,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin juga mahu KWSP mengekalkan dasar sedia ada.

“Pengeluaran wang KWSP pada usia 60 tahun dilihat kurang praktikal, sebab mereka yang bekerja berpuluh-puluh tahun juga mahu menikmati kehidupan yang baik selepas bersara,” terangnya.

Sehubungan itu, apa yang dilakukan KWSP selama ini katanya, harus dikekalkan kerana rakyat sudah selesa dengan perancangan sedia ada mereka.

Dipetik daripada sumber : BNBBC

No comments:

Post a Comment