Monday, April 20, 2015
Polis Kenal Pasti 16 Lokasi Panas Di Permatang Pauh
20 April 2015, Bukit Mertajam : Polis telah mengenal pasti 16 lokasi panas
di sekitar kawasan Parlimen Permatang Pauh sepanjang kempen Pilihan
Raya Kecil (PRK) kawasan itu, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul
Rahim Hanafi.
Beliau berkata polis turut mengenal pasti sembilan kawasan yang berkemungkinan berlaku pergaduhan.
Abdul Rahim berkata bagi memastikan proses PRK itu lancar, polis
membuka 30 bilik gerakan di kawasan berkenaan dan menempatkan 260
pegawai serta anggota untuk 24 jam.
“Pada pandangan saya, pilihan raya kecil Permatang Pauh ini nampaknya
rancak. Saya percaya kekuatan pegawai dan anggota kontinjen Pulau
Pinang serta bantuan daripada Bukit Aman akan dapat menjaga keamanan di
sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Rahim ditemui selepas mengadakan lawatan ke Institut Kemahiran
Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam yang merupakan pusat penamaan calon
bagi PRK Permatang Pauh, di sini hari ini.
Abdul Rahim turut menasihatkan parti-parti politik yang bertanding
agar memohon permit ceramah untuk berkempen mulai sekarang kerana
permohonan permit boleh dibuat dalam tempoh 10 hari sebelum mengadakan
ceramah.
“Saya nasihatkan parti-parti politik bertanding agar tidak
menimbulkan provokasi atau membangkitkan isu-isu sensitif sepanjang
tempoh berkempen,” katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas
penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil
rakyat apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja
yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK
Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian
awal 3 Mei.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment