Monday, April 20, 2015
UMNO Yakin BN Dapat Majoriti Undi Lebih Besar Di Rompin – Shafie Apdal
19 April 2015, Ipoh : UMNO yakin Barisan Nasional (BN) dapat memperoleh
majoriti undi yang lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi
Parlimen Rompin pada 5 Mei ini sekiranya dapat menangkis pelbagai isu
yang dibangkitkan oleh pihak tertentu dengan sebaik mungkin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata BN mampu
memperjelaskan sebarang isu atau tohmahan yang dilontarkan oleh pakatan
pembangkang melalui media sosial.
Justeru, katanya, UMNO khususnya perlu memperhebat usaha menangkis
dakyah yang dilemparkan oleh pembangkang melalui Facebook, ‘Whatsapp’
dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
“Kita perlu bersedia dengan maklumat yang sahih terlebih dahulu bagi
menangkis dakyah pembangkang untuk meraih simpati pengundi,” katanya
kepada pemberita selepas melancarkan kempen ‘Jom Daftar Pemuda’ di
Bangunan UMNO Perak, di sini hari ini.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri
Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4
April lepas.
Allahyarham menjadi ahli Parlimen Rompin sejak enam penggal lepas
bermula pada 1990 dan pada pilihan raya umum 2013, beliau menewaskan
bekas Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114
undi.
Pada PRK Parlimen Rompin, UMNO telah mencalonkan Pemangku Ketua UMNO
Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calon BN. Hari penamaan
calon ialah pada Rabu ini.
Pada majlis itu, sebanyak 3,397 anggota Pemuda UMNO daripada 24 bahagian mendaftar sebagai pengundi.
“Kita mengalu-alukan usaha ini dalam menghadapi PRU (Pilihan Raya
Umum) yang akan datang,” kata Mohd Shafie. Selain itu, beliau berkata
UMNO perlu berusaha menambat semula hati pengundi yang telah beralih
arah dan menyokong kembali parti itu.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment