Monday, April 20, 2015
Tun Mahathir Optimis BN Pertahan Rompin
19 April 2015, Rompin : Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir 
Mohamad optimis Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi masalah untuk 
terus mempertahan kerusi Parlimen Rompin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 
itu 5 Mei depan.
Beliau berkata ini kerana BN mempunyai sokongan kuat pengundi kawasan
 itu terhadap kepimpinan bekas Anggota Parlimen Rompin Allahyarham Tan 
Sri Dr Jamaluddin Jarjis sejak 1990.
“Di Rompin, sokongan BN masih ada…pasti menarik untuk tahu marginnya 
kali ini,” katanya kepada pemberita pada forum antarabangsa ‘Mendampingi
 Golongan Muda Untuk Menjenayahkan Perang dan Mentenagakan Keamanan’ di 
Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Semalam, BN menamakan pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan
 Arifin, 62, yang juga bekas timbalan menteri besar Pahang sebagai 
calonnya bagi PRK Rompin.
Mengenai PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini, Dr Mahathir 
berkata BN bakal berdepan laluan sukar untuk merampas kerusi itu kerana 
penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan kuat di 
kawasan berkenaan.
“…ia pasti sukar, ada penyokong fanatik di situ. Orang yang tidak 
hiraukan realiti, tentang kebenaran, mereka sokong secara membabi buta,”
 katanya.
Anwar merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh bagi BN dari 1982 
hingga 1999 sebelum dijatuhi hukuman penjara pada 14 April 1999.
Kerusi itu kemudian dimenangi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan 
Ismail pada pilihan raya umum ke-10 pada November 1999. Dr Wan Azizah 
mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya seterusnya sebelum meletak 
jawatan pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar untuk 
bertanding dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos, 2008.
Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon BN Datuk 
Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi pada Pilihan Raya Umum 
ke-13. PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga 
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja terhadap Anwar, yang 
dipohon melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit 
meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment