Monday, April 20, 2015
Hasan Bukan Orang Asing Kepada Kami – Penduduk Rompin
18 April 2015, Rompin : Tepukan gemuruh dan sorakan orang ramai semasa 
nama pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin diumumkan 
sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin
 mencerminkan ‘penerimaan’ masyarakat terhadap beliau.
Keperibadian Hasan, 62, yang mudah didekati dan sentiasa tersenyum 
menjadi kenangan penduduk sekitar Rompin, memandangkan beliau pernah 
menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rompin dari 1982 hingga 
1990 dan Ibam pada 1990 hingga 2004.
Bagi suri rumah Hamidah Hasan, 58, beliau tidak pernah menyangka 
seorang Adun boleh bersifat begitu santai dan tidak mengharapkan layanan
 istimewa semasa ‘membuat kunjungan mengejut’ di rumahnya di Desa Melor,
 dekat sini bagi menghadiri satu kenduri suatu ketika dulu.
“Beliau makan bersama tetamu lain. Semasa kenduri juga ramai tetamu 
mengambil peluang mengajukan masalah yang dihadapi. Beliau tetap melayan
 mereka walaupun semasa itu sedang makan,” katanya kepada Bernama semasa
 ditemui selepas majlis pengumuman calon BN dan penyerahan watikah untuk
 PRK Rompin di sini, hari ini.
Pengumuman
 dilakukan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan 
lebih 1,000 orang ramai termasuk anggota Puteri, Wanita, Pemuda dan 
parti komponen BN.
Perkara itu diakui Rosehabibah Abu, 48, dari Desa Dahlia di sini, 
yang menyifatkan Hasan sebagai ‘wakil rakyat sejati’ kerana tetap 
meneruskan khidmat membantu masyarakat walaupun tidak menjawat sebarang 
jawatan.
Hasan tidak ‘lokek’ untuk mengeluarkan wang daripada poket sendiri 
apabila dihampiri oleh penduduk kampung, khususnya jika tujuan wang itu 
adalah untuk persekolahan anak atau bayaran perubatan, katanya.
Bagi Orang Asli Sewan Ahmad, 71, beliau berkata Hasan bukan orang 
asing dalam masyarakat Orang Asli dan sifat murah hati Allahyarham Tan 
Sri Dr Jamaluddin Jarjis terhadap masyarakat Orang Asli, pasti akan 
diteruskan oleh Hasan.
“Kami sedar tidak semua orang boleh ‘masuk’ dengan masyarakat kami. 
Sebab itu, apabila kami mendapat seorang pemimpin yang baik, kami akan 
setia. Sudah pasti pilihan kepimpinan parti adalah individu yang 
setanding dengan Jamaluddin,” katanya.
Bagi Asiah Bogi, 47, Orang Asli dari Kampung Kedaik Asal, dekat sini 
berkata beliau sudah lama mengenali Hasan dan menyenangi peribadi 
beliau, menyebabkan beliau yakin BN akan dapat mengekalkan kemenangan 
atas faktor ‘pemilihan calon yang tepat’.
Bagi Molhd Redzuan Mahayadi, 32, dari Felda Keratong 2 di sini, 
beliau telah lama mendengar nama Hasan disebut-sebut, walaupun ketika 
itu beliau masih bersekolah.
“Jika nama disebut, sudah pastilah orang itu mendapat tempat yang 
istimewa di hati dan telah berbudi, sehingga masyarakat tidak boleh 
melupakannya,” katanya.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, 
Tan Sri Dr Jamaluddin, yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia 
(PR1MA) dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin mengekalkan 
kerusi yang disandang beliau selama 23 tahun setelah mengalahkan bekas 
ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 
undi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment