18 April 2015, Rompin : Barisan Nasional (BN) menamakan pemangku Ketua 
UMNO Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calonnya bagi 
pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini.
Pemilihan bekas timbalan Menteri Besar Pahang itu diumumkan Timbalan 
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon 
dan penyerahan watikah di Pusat Operasi Jentera BN, Muadzam, di sini 
hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, bagi menunaikan 
tanggungawab yang menuntut kepada gerak kerja yang lebih kuat, BN 
mengetengahkan tokoh politik yang berpengalaman dan tidak asing lagi 
bagi penduduk Rompin.
“Pucuk pimpinan parti telah memutuskan Hasan paling sesuai dan layak 
untuk bertanding mewakili BN di Parlimen Rompin atas banyak faktor, 
salah satunya pengalamannya cukup banyak dalam urusan dan pentadbiran 
parti dan kerajaan,” katanya.
Majlis pengumuman itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno
 Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri 
Tengku Adnan Tengku Mansor.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk 
Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, dan Naib Ketua Umno Bahagian Datuk Seri 
Maznah Mazlan.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata Hasan juga 
merupakan seorang tokoh yang telah melalui pelbagai peringkat jawatan 
dalam UMNO, dan pernah memegang jawatan sebagai bekas Timbalan Menteri 
Besar Pahang.
Berbekalkan pengalaman selama tiga penggal menjadi anggota dewan 
Undangan Negeri (Adun) Rompin, dan Bukit Ibam selama dua tiga penggal 
bermula 1982, selain pernah menjadi Exco kerajaan negeri, Hasan diyakini
 calon yang paling layak untuk mengangkat Rompin ke tahap yang lebih 
tinggi, kata Muhyiddin.
“Jadi kita fikir adalah sesuai untuk beliau meneruskan tradisi yang 
telah dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kerana 
penerimaan penduduk tempatan adalah baik dan saya rasa ini adalah 
pilihan tepat.
“Harapan kita adalah pengundi akan terima Datuk Hasan sebagai Anggota
 Parlimen kerana mereka telah biasa dengan beliau maka mudah untuk 
kemukakan apa sahaja isu dan permasalahan penduduk Rompin,” kata 
Muhyiddin.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan jentera parti supaya 
tidak mengambil mudah PRK ini walaupun ia merupakan kawasan kubu kuat 
UMNO yang tidak pernah dimenangi oleh parti pembangkang sejak dahulu 
lagi.
“Kita yakin mampu pertahan, namun penentunya adalah pengundi, kita 
kena atur langkah bijaksana dan jangan ambil mudah. Kebimbangan saya 
cuma satu, kebiasaannya PRK di kawasan yang mereka anggap BN akan 
menang, maka tak ramai nak keluar mengundi termasuk anggota parti.
“Jadi jika mereka buat begitu maka peratusan mengundi tidak akan 
tinggi dan itu akan menjejaskan majoriti yang ingin kita raih,” katanya.
Sehubungan itu juga, beliau sendiri telah menetapkan sasaran majoriti
 yang perlu dicapai dalam PRK kali ini selain Indeks Petunjuk Utama 
(KPI) yang perlu diraih oleh setiap pusat daerah mengundi (PDM).
Muhyiddin turut mengingatkan jentera penerangan parti supaya turun ke
 peringkat akar umbi untuk menerangkan setiap isu berbangkit termasuk 
soal Felda dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang 
sudah mula menjadi bahan kempen parti pembangkang.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri
 Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April 
lepas.
Allahyarham menjadi Anggota Parlimen Rompin sejak enam penggal lepas 
bermula tahun 1990 dan pada pilihan raya umum tahun 2013, beliau 
menewaskan bekas Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti
 15,114 undi.
Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 
pengundian PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei depan manakala hari penamaan 
calon pada 22 April ini.
Parlimen Rompin mempunyai 53,924 pemilih berdaftar dengan 1,300 
pengundi Cina, 621 pengundi India dan lebih 7,000 pengundi Orang Asli.
BIODATA 
Tarikh Lahir : 28/4/1953
Umur : 62 Tahun
LATAR BELAKANG PENDIDIKAN
1976 : Sarjana Muda Ekonomi, Universiti Malaya Kuala Lumpur
1979 : Management Course Asia Institute  Of Management Manila
PENGALAMAN DAN JAWATAN DALAM POLITIK
1976 : Menjadi Ahli UMNO
1978 : Menjadi AJK UMNO Bahagian Pekan
1984 : Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan
1986 : Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rompin
1990-2004 : Ketua Bahagian UMNO Rompin
1996-2004 : Ahli Majlis Tertinggi UMNO
1982-1986 : Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan  Rompin Parlimen Pekan
1986-1990 : Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Rompin Parlimen Pekan
1990-2004 : Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Ibam Parlimen Pekan
1986-1995 : Exco Kerajaan Negeri Pahang
1995-1999 : Timbalan Menteri Besar Pahang
i)   Bertanggungjawab membangunnkan Gebeng  Industrial Area
ii)  Menarik Pelaburan Di Pahang
iii) Bertanggungjawab keatas pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (Karak-Kuantan)
iv)  Membesarkan Pelabuhan Kuantan
JAWATAN SEKARANG
i)   Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin
ii)  Pengerusi PERKIM Negeri Pahang
iii) Pengerusi Sahabat Masjid Wilayah Persekutuan
iv) Ahli Lembaga Pengarah UDA Holding Berhad.
PENGENALAN PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN
1990-1999 : Menjadi Pengerusi Lembaga Pertubuhan Perusahaan  Pertanian (LKPP)
Tanggungjawab :
i) Memulihkan pentadbiran dan kewangan Lembaga
ii) Membangunkan ladang sehingga mencecah 100,000 ekar
iii) Membangunkan kilang CPO dan lain lain kilang
iv) LKPP merupakan agensi yang paling kukuh dan mempunyai harta yang banyak di Pahang
v) Terlibat dalam menguruskan ladang ladang kecil peneroka, keselamatan dan juga peserta rumah banjir
1991-1995 : Menjadi Ahli Lembaga Pengarah FELDA
1995-1988 : Pengerusi DARA (Lembaga Pembangunan Kemajuan  Wilayah Pahang Tenggara)
1976-1982 : Sebelum memasuki bidang politik pernah bekerja  dengan ASPA 
(sebuah agensi kerajaan yang terlibat dalam industri Perkayuan. Jawatan 
terakhir adalah sebagai Pengurus Operasi Kilang)
PENGALAMAN ANTARABANGSA & NGO
1995-2001 : Executive Council Commenwealth Parlimentary Association
Menghadiri Sidang Ahli Parlimen Negara Komenwel  di Mauritus New Zealand
 Barbados Singapore United Kingdom Australia Trinidad & Tobago
LATARBELAKANG KELUARGA
Nama Isteri : Datin Rozidah Binti Karim
Anak Pertama : Ahli Perniagaan (sudah berumahtangga)
Anak Kedua : Head Of Communication Tune Talk (sudah berumahtangga)
Anak Ketiga : Executive Auditor Delloite
Anak Keempat : IT Executive
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
 
No comments:
Post a Comment