Monday, April 20, 2015
Landskap Politik Negara Berubah Jika Berlaku Kejutan Di Permatang Pauh
17 April 2015, Bukit Mertajam : Landskap politik di Pulau Pinang dan
negara akan berubah sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya melakukan
kejutan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 7 Mei ini, kata Naib
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata berdasarkan komitmen dan kesepaduan yang ditunjukkan
UMNO negeri dan bahagian, BN yakin pilihan raya kecil Permatang Pauh
kali ini akan menghasilkan satu kejutan.
“Keyakinan itu ditambah hasil kaji selidik yang kami lakukan,
didapati rakyat telah jemu dengan apa yang mereka alami selama ini…bukan
hanya dalam soal pembangunan tetapi mereka mula merasakan bahawa
perubahan harus dilakukan.
“Mereka mahu supaya cita rasa yang baharu ini dapat mengubah landskap
politik di Permatang Pauh,” katanya pada sidang akhbar selepas
mengadakan pertemuan bersama anggota jawatankuasa bahagian empat
peringkat di Wisma Transformasi di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata jika jentera pilihan raya BN yang dibentuk itu
berjalan dengan baik, isu sabotaj tidak akan timbul walau siapapun calon
yang akan dipilih pucuk pimpinan BN untuk pilihan raya kecil itu.
“Calon BN untuk pilihan raya itu akan dipilih dalam kalangan
kepimpinan UMNO yang ada sekarang di Permatang Pauh…calon yang disukai
ramai, yang boleh menang.
“Ketua (UMNO) bahagian (Permatang Pauh) telah menyatakan siapa sahaja
yang akan diumumkan sebagai calon, maka baiah kita, aku janji kita
(ialah) kita ketepikan perbezaan di kalangan kita…yang penting bukan
calon itu, tetapi adalah calon yang mewakili UMNO yang bertanding atas
tiket BN,” katanya.
Beliau bagaimanapun sedar banyak isu politik yang akan dimainkan
pembangkang untuk menyerang BN terutama isu-isu terbaharu untuk
memusnahkan imej parti.
Ahmad Zahid berkata pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan
raya BN untuk Permatang Pauh akan dilakukan Timbalan Presiden UMNO Tan
Sri Muhyiddin Yassin pada 23 April ini.
Ditanya berhubung kesediaan PAS Pulau Pinang menyokong calon PKR pada
pilihan raya kecil itu, beliau berkata itu adalah permasalahan
pembangkang yang harus dijawab oleh mereka.
“Kami tidak akan terjebak dengan jerangkap samar yang dipasang sama
ada oleh DAP, PKR apatah lagi PAS…yang penting ialah perpaduan dalam
kalangan kami.
“Kami harus jaga rumah tangga kami sendiri, jaga ahli-ahli dalam
rumah tangga kami, rumah tangga BN dan rumah tangga UMNO sepenuhnya,”
katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan
penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota
Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja
yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya
kecil Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala
pengundian awal 3 Mei.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment