Tuesday, April 21, 2015

Proses Penamaan Calon PRK Parlimen Rompin Ditutup Jam 10 Pagi

Calon BN Dan PAS

22 April 2015, Rompin : Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, ditutup pada pukul 10 pagi. 

Dua calon, iaitu Datuk Hasan Arifin daripada Barisan Nasional (BN), dan Nazri Ahmaf daripada PAS, telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing.
Serah Borang Pencalonan
Sementara itu, penulis blog Mohd Shukri Mohd Ramli yang pada Isnin lepas mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas, tiba pada 9.50 pagi tetapi tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak membawa penyata kewangan serta seorang pencadang dan seorang penyokong bersamanya.

Sebelum itu, Hasan, pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, diiringi Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah berarak dari Puteri Inn, kira-kira 30 meter dari pusat penamaan calon pada pukul 8.50 pagi.

Turut bersama mengiringi Hasan ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga penyelaras BN bagi PRK Rompin, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Naib Presiden Gerakan Datuk A Kohilan Pillay berserta 5,000 anggota dan penyokong BN.

Sementara itu, Nazri pula diiringi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, diarak dari stesen minyak Petronas kira-kira 200 meter dari pusat penamaan calon pada pukul 8.45 pagi.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua berserta 1,000 penyokong.

Hasan menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.07 pagi manakala Nazri pula pada 9.04 pagi.

PRK Rompin diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Parlimen Rompin adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar terdiri daripada 52,744 pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 30 April dan pengundian sepenuhnya pada 5 Mei ini. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO


No comments:

Post a Comment