Monday, April 27, 2015

#PRKPermatangPauh dan Rompin : PKR Tidak Senang Dengan Promosi Hudud PAS

28 April 2015, Kuala Lumpur : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan rasa kurang senang dengan hasrat Pas Kelantan yang mahu mempromosikan hukum hudud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dan Rompin.
http://images.says.com/uploads/story_source/source_image/382156/4479.jpg
Ketua Penerangannya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ini kerana perkara itu tidak ada kesan langsung terhadap rakyat berbanding isu lain yang lebih penting seperti kenaikan harga barang.

Malah menurut beliau, Pas sepatutnya mengetahui berhubung pendirian PKR yang sejak awal konsisten tidak menyokong pelaksanaan hukuman itu.

“Hukum hudud sesuatu yang belum pasti dan masih berada pada peringkat perbincangan, jadi kita dahulukan isu lain yang lebih pen­ting dan tidak perlu diperbesarkan tentangnya dalam PRK,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Syed Ibrahim mengulas kenya­taan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob iaitu Pas akan menggunakan kesempatan berkempen dalam PRK Parlimen Permatang Pauh dan Rompin untuk memberi penjelasan serta kefahaman kepada orang ramai tentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, isu pelaksanaan hukum hudud perlu dirundingkan dalam mesyuarat yang melibatkan pe­mimpin PKR, DAP dan Pas.

Apa yang lebih penting ketika ini, tambah beliau, adalah memastikan kemenangan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK Parlimen Permatang Pauh, bukannya membangkitkan isu hukum hudud yang belum menjadi perkara besar kepada rakyat.

“Cuma kalau ada persoalan tentang hukum hudud sewaktu berkempen, kita akan terangkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman berkata, boikot yang disuarakan Dewan Pemuda Pas (DPP) negeri tidak memberi kesan besar kepada PKR memandangkan masih wujud kerjasama antara kedua-dua parti tersebut di peringkat akar umbi.

“Yang kata boikot itu pemimpin tertentu sahaja, tetapi sebenarnya Pas diketuai Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mujahid Yusof telah menggerakkan jentera mereka,” katanya.

Mansor berkata, pihaknya tidak ada isu dengan bantahan yang disua­rakan DPP negeri kerana apa yang lebih penting ahli Pas khususnya di Permatang Pasir membantu kempen dalam PRK tersebut.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment