Wednesday, April 22, 2015
UMNO Harus Lupakan “Soalan” Mahathir Jika Mahu Menang PRU14
EDITOR MENULIS
22 APRIL 2015
Tun Mahathir menyatakan UMNO harus menyingkir Mohd Najib atau berhadapan kalah dalam pilihan raya akan datang. Bekas
Perdana Menteri ke-4 ini sudah bertekad mahu menyingkirkan Mohd Najib
Razak dengan apa cara sekali pun.
Kenyataan beliau mengulangi
tuduhan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah ‘menghilangkan’ wang
negara melalui 1MDB dalam satu sidang media di PWTC sebentar tadi,
membuktikan bahawa UMNO perlu melupakan bekas Perdana Menteri itu jika
mahu menang dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Penulis yakin Tun Mahathir merujuk
kepada hutang 1MDB berjumlah RM 42 billion yang telah berulang kali
dijawab bukan menggunakan wang rakyat tapi pinjaman bank untuk
memperolehi ase-aset yang bernilai lebih RM 52 billion!!
Wang rakyat yang terlibat hanyalah
sebanyak RM 1 juta modal permulaan dan RM 970 juta dalam bentuk
kemudahan kredit (perlu bayar balik). Siapa tak faham pasal kemudahan
kredit, maksudnya bukan bagi terus semua, kerajaan hanya akan berikan
kalau wujud keperluan.
Beliau mahu Bantuan Rakyat 1 Malaysia
(BR1M) dibatalkan kerana membazir. Namun hakikatnya BR1M lebih
menjimatkan perbelanjaan negara dan membolehkan susbsidi sampai ke
golongan sasar berbanding memberi subsidi gula, petrol dan tenaga kepada
konglomerat besar.
Beliau mahu Mohd Najib mendedahkan
siapakah dalang pembunuhan Altantuya. Sudah tentu ini tidak mungkin
dapat dilakukan oleh Mohd Najib kerana beliau sendiri tidak
mengetahuinya. Mohd Najib turut bersumpah beliau tidak mengenali
Altantuya ini bagi menolak tuduhan politik bahawa mangsa pembunuhan ini
mempunyai hubung kait dengan beliau.
Sirul Azhar bekas pengawal peribadi Tun
Mahathir yang sedang dibelanya sekarang juga sampai sekarang tidak
mendedahkan siapa yang dikatakan mengarahkannya. Bagaimana Najib atau
sesiapa pun dapat menjawab soalan Tun Mahathir ini?
Justeru, sudah tiba masanya UMNO
melupakan “soalan-soalan” Tun Mahathir dan meneruskan perjuangan untuk
Rakyat. Biarlah Tun Mahathir dengan persepsi beliau kerana beliau tidak mahu jawapan.
Alasan saya kenapa UMNO perlu
melupakan Mahathir mudah saja, tindakan Mahathir mahu menukar Perdana
Menteri setiap kali permintaannya tidak dilayan, membuktikan bahawa
bekas Perdana Menteri itu hanya mahu melihat seorang Perdana Menteri
yang boleh dijadikan bonekanya atau mengikut cara gaya pemikirannya sahaja.
Kalau tak dengar cakap, inilah yang
terjadi (disuruh meletak jawatan). Anehnya, tidak ada siapa yang
melantik Mahathir menjadi suara tunggal rakyat, sehinggakan semua
perkara mesti dibawah telunjuknya. Macamlah ketika berkuasa semua orang
sukakan dia.
Kalau tidak, taklah wujud Mahazalim,
Mahafiraun, budak PASTI pijak gambar dia dan sebagainya. Bukan penulis
sokong semua tu tapi nak buktikan bahawa zaman dia jadi Perdana Menteri,
ramai juga yang benci, bukan semua suka pun macam yang disangka
sesetengah artis hari ini.
Selain itu, pandangan Mahathir juga
tidak lagi mencerminkan pandangan generasi hari ini.
Semuanya mesti
mahu ikut cara dia dulu, mana boleh, sedangkan zaman dan keperluan
rakyat serta negara sudah berubah.
Rakyat bagaimanapun wajar terus
menghormati Mahathir sebagai negarawan dan bekas Perdana Menteri –
setakat itu cukup. Kita akan sentiasa kenang jasa Mahathir, tapi untuk
menghadapi cabaran hari ini dan akan datang, UMNO harus teguh dengan
kepimpinan sekarang.
Hakikat ini diakui sendiri oleh UMNO Kedah dibawah pimpinan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang telah menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selebihnya... kalian fikir-fikirkanlah sendiri....
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment