Thursday, May 14, 2015
Angkat Wan Azizah Sebagai Ketua Pembangkang Sekadar “Radio Ulang Suara”
14 Mei 2015, Kuala Lumpur : Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang,
Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin berkata kemenangan Presiden PKR, Datin
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang
Pauh rupa-rupanya sekadar untuk diangkat sebagai Ketua Pembangkang di
Parlimen dan bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat.
Menurut beliau sepatutnya apa yang perlu dilakukan oleh wakil rakyat
adalah mengutamakan penduduk setempat dengan menyatakan apa yang hendak
dilakukan serta memulihkan kawasan tersebut demi kepentingan penduduk
berkenaan.
“Alih-alih yang pertama keluar adalah diangkat sebagai ketua
pembangkang… saya percaya luluh hati pengundi yang telah memberikan
kepercayaan kepada beliau baru-baru ini. Alangkah lebih elok dan lebih
manis jika dinyatakan apa yang hendak dipulihkan kawasan tersebut.
“Setelah sekian lama silih berganti antara Wan Azizah dan suaminya
Anwar Ibrahim, saya kira banyak lagi perkara yang perlu diutamakan di
kawasan berkenaan berbanding jawatan ketua pembangkang.
“Saya nak tanya, angkat Wan Azizah untuk jawatan tersebut untuk apa?
Apakah sekadar ‘radio ulang suara’ semata-mata? Sebelum ini pun tak
nampak apa-apa sekadar cerita perkara yang sama sedangkan sebenarnya dia
kena faham tugas sebagai wakil rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, di
sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas persetujuan pakatan
pembangkang yang memilih Dr Wan Azizah yang baru memenangi Pilihan Raya
Kecil (PRK) Permatang Pauh memikul tanggungjawab sebagai ketua
pembangkang baharu pada sidang Parlimen akan datang.
Mengulas lebih lanjut Fairus seterusnya menambah Permatang Pauh yang
silih berganti antara suami dan isteri sama sahaja dan tidak menampakkan
perubahan.
“Yang nampak perubahan adalah wakil rakyatnya sahaja iaitu antara Wan
Azizah dan Anwar Ibrahim. Itu sahajalah. Mereka menjadikan parti dalam
kerangka nepotisme yang cukup jelas dan ke manakah hilangnya konsep
keadilan yang diwar-warkan. Bukan sahaja untuk penduduk Permatang pauh
tetapi lebih jauh daripada itu jika bercakap soal perjuangan.
“Langsung tidak keluar daripada kerangka nepotisme yang mereka
sendiri cipta. Ianya satu keaiban yang cukup besar. Gembar-gemburkan
soal keadilan tetapi terpalit dengan diri sendiri sedangkan bila pula
masanya nak cerita soal pembangunan untuk rakyat?” soalnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment