Monday, May 04, 2015
Jangan Lupa Jasa Kerajaan Walaupun Tidak Berpuas Hati Dengan Pelbagai Isu – Muhyiddin
4 Mei 2015, Muadzam Shah : Rakyat diminta tidak melupakan jasa kerajaan
dalam membangunkan negara ini walaupun kini tidak berpuas hati dengan
beberapa isu termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), kata Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sedar wujudnya rasa tidak
puas hati rakyat dan akan menggandakan usaha bagi melindungi kepentingan
mereka.
“Saya harap mereka tidak marahkan kerajaan sebegitu rupa sehingga
mereka lupa tentang usaha kita lakukan selama ini untuk membantu
mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah
Dewan Semai Bakti di FELDA Keratong 4 dekat sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen
Rompin Datuk Hasan Arifin.
Muhyiddin berkata kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan dan
mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba mengambil
kesempatan berikutan pelaksanaan CBP sehingga membebankan kehidupan
rakyat.
“Yang penting tindakan di peringkat penguatkuasaan, dan kita sudah
memaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga ini bagi
melindungi kepentingan pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata segala isu berbangkit ketika kempen PRK Parlimen Rompin telah diperjelaskan dengan terperinci.
“Sehingga kini kita tidak ada masalah besar, kita dah kenal pasti isu
dan sebahagiannya kita telah jelaskan, seperti isu FELDA,” katanya.
Justeru beliau yakin rakyat di kawasan parlimen itu akan memberi sokongan yang besar kepada kerajaan.
Beliau turut mengingatkan pengundi yang menyokong BN supaya tidak
begitu selesa sehingga tidak keluar mengundi esok, manakala yang berada
di luar kawasan pula tidak pulang untuk mengundi sehingga menyebabkan
jumlah majoriti berkurangan.
Ditanya jika BN menang di PRK Rompin, sama ada kemenangan itu memberi
kesan pada PRK Permatang Pauh, Muhyiddin berkata menjadi harapan BN
untuk membawa limpahan kejayaan itu ke sana.
Namun, katanya, situasi, latar belakang dan isu berbangkit di kawasan
Parlimen Permatang Pauh jauh berbeza dengan Parlimen Rompin.
Timbalan perdana menteri turut berkata adalah tidak munasabah untuk
menjadikan CBP sebagai kayu pengukur dalam menentukan penerimaaan dan
penolakan rakyat dalam kedua-dua PRK itu.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, kemudian menghadiri taklimat tertutup jentera BN di pejabat UMNO Bahagian Rompin.
Beliau yang tiba jam 5.20 petang berada kira-kira 45 minit mendengar
taklimat yang disampaikan Setiausaha UMNO Bahagian Rompin Datuk Wan
Kadri Wan Mahusain.
PRK Rompin menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN
Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan
kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis
pada 4 April lalu akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor.
Sejumlah 52,744 pengundi layak untuk mengundi di 38 pusat mengundi
esok, manakala 464 atau 85.1 peratus daripada 545 pengundi awal telah
menunaikan tanggungjawab mereka pada Khamis lalu.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment