Sunday, May 10, 2015

Kerajaan Tidak Mahu Kontroversi Pembelian Tanah TH- 1MDB Dipanjangkan – PM

10 Mei 2015, Kota Belud : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan tidak mahu kontroversi urusan pembelian sebidang tanah oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipanjangkan.

Beliau berkata ini kerana isu itu telah diputar-belitkan untuk memperlihatkan seolah-olah dalam urusan itu Tabung Haji telah menggunakan wang pendeposit untuk menyelamatkan 1MDB daripada masalah kewangan.

“Kami tidak mahu kontroversi ini dipanjangkan kerana ia akan mengambil banyak tenaga kami dari segi memberi tumpuan terhadap beberapa daripada program-program besar yang kami cadang untuk laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Belud di sini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Tabung Haji bahawa ia akan menjual semula tanah yang dibeli daripada 1MDB.
KOTA KINABALU, 10 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada majlis perasmian Projek Perumahan Rakyat Kampung Pirasan di Kota Belud hari ini. Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan (tiga dari kiri) dan Speker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Salleh Tun Said (dua dari kiri).?--fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Najib berkata menjual tanah itu kepada sektor swasta merupakan urusan komersial yang baik, membolehkan Tabung Haji mengaut untung beberapa juta ringgit dalam tempoh singkat.

“Jadi, ia bukan langkah untuk menyelamatkan (1MDB). Tiada syarikat akan membeli sesuatu projek jika syarikat itu akan rugi,” katanya.

Semalam, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata Tabung Haji mengambil keputusan untuk menjual semula tanah seluas 0.66 hektar bernilai RM188.5 juta di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, selepas menerima tawaran daripada beberapa pembeli yang berminat.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment