Sunday, May 10, 2015
Kerajaan Komited Tambah Baik Dasar Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat – Najib
9 Mei 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan terus komited untuk menambah baik
dasar berkaitan mengurangkan kos sara hidup yang telah dilaksana selain
memperkenalkan dasar baharu bagi membantu rakyat, kata Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Dalam hal ini, perdana menteri berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan pelbagai pihak.
“Menangani kos sara hidup adalah keutamaan tertinggi dalam penelitian
setiap keluarga dan sebab itulah kerajaan memperkenalkan pelbagai
kaedah dan cara (untuk mengurangkan kos sara hidup).
“Mungkin tidak lengkap tetapi macam-macam usaha yang telah kita
lakukan. Adayang diketahui ada juga yang tidak diketahui, ada secara
langsung dan ada juga secara tidak langsung,” katanya berucap merasmikan
Sidang Meja Bulat dan Bicara Kos Sara Hidup Pemikir Muda Malaysia di
Bangi hari ini.
Menjadikan sektor pendidikan tinggi sebagai contoh, beliau berkata
sudah ada elemen subsidi oleh kerajaan yang dinikmati golongan pelajar
seperti tiada kenaikan yuran pengajian di universiti.
Malah, Najib menarik perhatian bahawa secara purata kerajaan
menanggung sebanyak 90 peratus kos pengajian tinggi di negara ini
manakala pelajar hanya membiayai 10 peratus sahaja kos tersebut.
“Jika tidak mampu menanggung kos 10 peratus itu, kerajaan menyediakan
pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan ada
antara pelajar kita yang mendapat biasiswa,” katanya.
Beliau berkata di Malaysia soal pendemokrasian pendidikan atau akses
kepada pendidikan berkualiti tidak bergantung kepada kemampuan kewangan
sebaliknya keinginan dan kesungguhan seseorang itu untuk belajar.
Katanya keadaan itu berbeza dengan banyak negara lain di mana rakyat
mereka tidak mampu melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi disebabkan
kos pengajian yang tinggi.
“Tapi di Malaysia, walaupun berasal daripada keluarga yang tidak
berpendapatan tinggi tetapi masih mampu menjejak kaki di universiti
kerana dasar kerajaan, kita percaya bahawa setiap insan berpontensi
untuk belajar kepada peringkat sehabis tinggi,” katanya.
Najib turut menyentuh mengenai perkhidmatan kesihatan yang disediakan
kerajaan seperti Klinik 1Malaysia dan hospital kerajaan yang mengenakan
bayaran yang sangat rendah untuk rakyat mendapatkan rawatan.
Katanya kerajaan juga menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat
dengan sasaran untuk membina hampir satu juta unit rumah mampu milik
dalam tempoh lima tahun termasuk yang dikhususkan kepada golongan belia.
“Kita ada Skim Perumahan Belia yang mana kerajaan memberi RM200
kepada 20,000 belia yang telah berkahwin untuk tempoh dua tahun pertama
bagi mengurangkn beban ansuran pinjaman bulanan perumahan dan
pengecualian 50 peratus duti stem ke atas perjanjian pinjaman,” katanya.
Najib berkata pelbagai lagi dasar dan langkah lain yang diperkenalkan
kerajaan merangkumi pelbagai perkara seperti pengangkutan awam dan
pembiayaan keusahawanan yang diharap dapat membantu rakyat mengurangkan
kos sara hidup.
Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah
Mansor, Presiden Pemikir Muda Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen dan Naib
Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Noor Azlan
Ghazali.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment