Thursday, May 14, 2015

Kritikan Media Untuk Membina, Bukan Memusnahkan – Najib

15 Mei 2015, Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima prinsip yang sewajarnya dipraktikkan oleh para pengamal media untuk bersikap membina dan menjayakan pembangunan negara.
http://www.singapuraterkini.com/wp-content/uploads/2015/01/datuk-rajak.jpg
Menurut Perdana Menteri, prinsip pertama yang perlu dipegang pengamal media adalah profesional dalam melontarkan pandangan yang membina dan bukannya memusnahkan.
Katanya, pengamal media juga mesti memiliki prinsip membuat laporan berdasarkan fakta sahih dan bukannya berdasarkan andaian serta khabar angin.

“Prinsip ketiga adalah mengamalkan media yang sihat iaitu menolak fitnah atau sebarang adu domba serta perkara-perkara sensitif yang berkaitan perkauman dan agama.

“Prinsip seterusnya adalah media-media mesti memiliki nilai-nilai positif seperti wasatiyyah iaitu amalan kesederhanaan serta semangat 1Malaysia yang memupuk sikap saling menghormati.

“Prinsip yang kelima adalah pengamal-pengamal media perlu mempraktikkan etika kewartawanan yang berteraskan nilai-nilai murni dan sejagat,” katanya ketika berucap dalam majlis Malam Media Perdana di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Yang turut hadir menteri-menteri, ketua-ketua pengarang organi­sasi media cetak dan elektronik serta pengamal-pengamal media termasuk media sosial.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menghargai peranan media yang menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai keputusan serta dasar kerajaan.

“Kita berharap media sentiasa bersikap konstruktif kerana kritikan boleh terbahagi kepada dua ia­itu kritikan yang membina dan kritikan yang memusnahkan,” katanya.
http://www.lsdi.it/assets/Jarvis11.jpg
Katanya, dalam keghairahan pihak media berlumba-lumba mengeluarkan berita, kesahihan adalah amat penting untuk memastikan laporan berita adalah tepat.

Menurut beliau, dengan penggunaan telefon pintar di Malaysia berada pada tahap 140 peratus, kerajaan sedar penggunaan pelbagai aplikasi seperti Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp menjadi medium maklumat untuk masyarakat.

Katanya, berbanding 30 tahun lalu, pengurusan isu boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam namun kini kerajaan perlu menjawab isu dalam tempoh sejam atau 30 minit kerana perkembangan teknologi maklumat (IT).

“Kita juga kena tahu apa yang ‘trending’ supaya kita lebih bersedia dan tidak ketinggalan dalam perkembangan pantas ini,” katanya.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment