Saturday, May 16, 2015
Usah Terlebih Ghairah, Teladani Kenyataan Mursyidul Am Pas – Dr Najmil
15 Mei 2015, Kuala Lumpur : Rakyat di negara ini diseru agar jangan mudah
terpengaruh dengan mana-mana informasi yang tidak diketahui sejauh mana
kebenarannya yang disebarkan oleh pihak tertentu melalui media sosial
khusus berhubung isu 1MDB dan menunggu hasil siasatan yang dijalankan
oleh Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
(PAC).
Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr.Najmil Faiz
Mohamed Aris berkata, orang ramai khususnya penyokong pembangkang perlu
menunggu hasil siasatan jabatan terbabit dan juga PAC yang turut
dianggotai oleh kepimpinan pembangkang, berhubung dakwaan penyelewengan
ini.
“Saya minta agar rakyat, termasuk ahli-ahli UMNO sendiri, janganlah
buat spekulasi sendiri atau terus percaya kepada sebarang info-info yang
tidak sahih serta info yang dimanipulasi oleh pihak tertentu melalui
media-media sosial seperti facebook, whatsapp dan sebagainya.
“Kita boleh lihat hari ini ramai pihak, termasuk kepimpinan
pembangkang seperti Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang dan
terbaru, Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din juga meminta peluang
diberikan kepada PM untuk menyelesaikan perkara ini. Malah, mereka juga
tidak bersetuju dengan sebarang gerakan untuk menjatuhkan PM tanpa
melalui pilihan raya seperti beberapa desakan yang diutarakan hari ini.
“Kenyataan dari pemimpin pembangkang itu jika dilihat secara positif,
meminta rakyat agar jangan terpengaruh dengan sebarang provokasi yang
dibuat oleh pihak tertentu berhubung isu ini, dan bersabarlah menunggu
apa juga hasil keputusan siasatan itu nanti,” jelasnya kepada
UMNO-Online di sini hari ini.
Beliau juga yakin, sekiranya hasil siasatan kelak membuktikan
wujudnya penyelewengan sepertimana yang didakwa berlaku, maka tindakan
tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan penyelewengan
tersebut.
“Kita meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib yang
mana beliau sendiri telah memberi jaminan, tindakan tegas akan diambil
terhadap mana-mana individu di dalam syarikat tersebut yang terlibat
dengan penyelewengan tersebut.
“Jadi saya berpendapat, kita sebagai rakyat khususnya ahli-ahli UMNO,
perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada PM yang telah kita lantik
melalui proses demokrasi negara bagi menyelesaikan masalah-masalah yang
timbul ekoran isu 1MDB ini, dengan tegas dan bijaksana,” ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment