Monday, May 04, 2015
Penangkapan 13 Individu Disyaki Militan Bukti POTA Relevan, Pentingnya Keselamatan Negara
1 Mei 2015, Rompin : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim
berkata, keberhasilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 13 individu
yang dipercayai dalam persiapan untuk menyertai kumpulan militan Negara
Islam (IS), di Shah Alam baru-baru ini membuktikan bahawa Rang
Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) adalah sesuatu yang relevan
bagi menjamin negara ini kekal selamat dan aman.
Jelas beliau, undang-undang itu bersifat pencegahan dan secara amnya
undang-undang dalam kehidupan adalah untuk memandu ke arah kerukunan
kehidupan agar tersusun secara tertib. Begitu juga dengan rang
undang-undang POTA, sekiranya tidak digunakan ianya tetap diperlukan
bagi mengekang gerakan-gerakan militan.
“Undang-undang itu sangat diperlukan disebabkan kita tidak ada lagi
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Negara. Untuk mengunakan
undang-udang biasa dengan tahanan reman biasa bagi kes-kes berprofil
tinggi sudah tentu tidak sesuai kerana ianya memerlukan tempoh siasatan
yang lebih lama.
“Dengan adanya undang-undang seperti POTA maka kita dapat mencegah
sesuatu perkara buruk itu dari berlaku,” ujarnya dalam satu wawancara
khas bersama UMNO-Online.
Selain itu beliau turut menyelar tindakan mereka yang membantah
pelaksanaan atau mempolitikkan akta tersebut. Baginya, apabila sesuatu
itu menjurus kepada keselamatan Negara maka ianya tidak ada kompromi
mahupun dipolitikkan.
“Bagi saya mereka yang ingin melanggar kerukunan dalam negara sangat
tidak mahukan ISA ataupun POTA sedangkan akta tersebut sangat diperlukan
dalam negara kita. Akta seperti ini bukan satu perkara baru tetapi
banyak negara lain mempunyai undang-undang seperti ini yang hampir
serupa.
“Jika mereka mempertikaikan pelaksanaan POTA akan wujudnya
penyalahgunaan kuasa maka mereka harus sedar, undang-undang yang sangat
baikpun tetapi jika masih sikap dan perangai menguna kuasa secara salah
ia tetap akan timbulkan kemarahan. Ini bukanlah soal undang-undang
tetapi soal manusia itu sendiri.
“Maka saya menyeru kepada seluruh rakyat untuk sama-sama menyokong
undang-undang pencegahan ini dan memberikan sokongan kepada pihak
berkuasa serta jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan
kekeliruan dan kemarahan rakyat tanpa sebab. Yang penting adalah kita
dapat hidup secara aman dan damai,” katanya.
Razali turut menjelaskan undang-undang POTA ini adalah satu langkah
yang proaktif dan jika tidak dilaksanakan sudah pasti kerajaan juga yang
dipersalahkan pada masa hadapan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak
diingini yang boleh menggugat keselamatan mahupun keamanan Negara.
Justeru itu beliau menyifatkan sesiapa yang mempolitik dan menentang
pelaksanaan undang-undang demi kebaikan Negara ini bolehlah digambarkan
sebagai pengganas atau individu itu terlibat dengan pengganas.
“Saya tidak menuduh tetapi sebagai contoh siapa yang tidak suka
dengan akta najis dadah adalah kerana dia nak ambil dadah. Orang yang
tidak suka dengan undang-undang lalulintas 110 km/j had laju sebab
mereka nak bawa laju.
“Sama seperti POTA, jika kita tidak terlibat maka kita tidak perlu
takut dan majoriti rakyat sebenarnya tidak terlibatpun dengan akta ini.
Tetapi apabila kita dikelirukan maka ramai yang akan menyokong
kumpulan-kumpulan tidak bertanggungjawab ini seolah-olah akta itu akan
menyekat hak kebebasan rakyat,”terang Razali.
Akhirnya Razali menegaskan bahawa kebebasan yang diperjuangkan tidak
menjamin keamanan Negara tetapi keamanan Negara boleh memberi jaminan
rakyat hidup bebas.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment