Monday, May 04, 2015
Tiada Manifesto Bukti PKR Tidak Bersungguh Bela Nasib Rakyat
4 Mei 2015, Permatang Pauh : Keengganan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk
mengeluarkan manifesto sebagai janji mereka kepada rakyat memperlihatkan
bahawa PKR sebenarnya tidak mempunyai perancangan pembangunan di
kawasan Permatang Pauh biarpun sudah 17 tahun menjadi wakil rakyat di
kawasan ini, demikian jelas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia,
Jamawi Jaafar.
Selain itu, ia memperlihatkan sikap PKR yang menganggap mudah harapan
serta hasrat pengundi di kawasan Permatang Pauh yang dikatakan sebagai
kubu kuat mereka selama ini.
“Manifesto itu adalah satu perancangan jangka masa panjang dan jangka
pendek untuk rakyat di kawasan ini. Jadi sekiranya tidak ada
langkah-langkah perancangan, bagaimana untuk membantu rakyat, khususnya
anak muda di kawasan ini.
“Bagaimana orang muda ingin menaruh kepercayaan kepada sebuah parti
yang tidak ada perancangan untuk kawasan ini biarpun sudah berbelas
tahun menjadi wakil rakyat di sini.
“Ini jelas berbeza dengan BN yang mewujudkan satu manifesto sebagai
perancangan untuk rakyat di kawasan ini dalam soal pendidikan, ekonomi
seperti peluang-peluang pekerjaan, pelaburan dan sebagainya. Inilah
kesungguhan dan iltizam BN untuk membangunkan kawasan ini sekiranya
menang pada 7 Mei ini,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian selepas program ziarah rumah ke rumah di
sekitar kawasan perumahan di Seberang Jaya, Permatang Pauh di sini hari
ini.
Tambah Jamawi, biarpun di kawasan ini sudah mempunyai UiTM dan
politeknik yang dibina ketika zaman pemerintahan BN lagi, namun
manifesto ini merupakan janji BN sebagai satu usaha yang berterusan
untuk terus memajukan kawasan ini.
“Secara tidak langsung, manifesto ini juga dapat memperkasakan lagi
pembangunan di sini sekiranya wakil daripada BN dipilih oleh rakyat di
sini untuk menjadi wakil mereka.
“Ini kerana kita tahu setiap wakil rakyat BN mempunyai peruntukan
sebanyak lima juta setahun untuk membangunkan kawasan mereka sepertimana
yang diberitahu oleh pengarah jentera PRK Permatang Pauh, Datuk Seri
Zahid Hamidi.
“Jadi inilah peluang yang harus diambil oleh rakyat khususnya anak
muda di kawasan ini bukan saja untuk memberikan kemenangan kepada BN
tetapi juga untuk mengangkat martabat anak muda dengan memilih calon
yang terdiri daripada anak tempatan,” tegasnya.
Beliau juga yakin dengan calon BN, Suhaimi Sabudin sebagai anak
tempatan yang mampu untuk bekerja keras membangunkan kawasan ini serta
memberikan tumpuannya seratus peratus terhadap Permatang Pauh.
“Ini sudah tentu amat berbeza jika mahu dibandingkan dengan calon PKR
yang terpaksa memikirkan pelbagai perkara termasuk soal kemelut dalaman
parti politiknya, soal nasib rakyat di Kajang di mana beliau sebagai
wakilnya, memikirkan pula hal keluarganya, cucunya dan pelbagai perkara
lagi, yang mana pastinya akan menjejaskan tumpuannya terhadap warga
Permatang Pauh.
“Jadi saya berharap agar warga pengundi di Permatang Pauh, khususnya
golongan muda akan beri peluang kepada calon BN, orang muda dan anak
tempatan yang pastinya mampu untuk memberikan tumpuan seratus peratus
sebagai wakil rakyat di kawasan ini,” akhirnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment