Monday, May 04, 2015
Masa Wakil Rakyat Hanya Balik Kenduri Sudah Berakhir
1 Mei 2015, Permatang Pauh : Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau
Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, masa untuk wakil rakyat
turun ke kawasan sebulan sekali atau semata-mata untuk menghadiri
kenduri-kendara sudah berlalu.
Kata beliau, hari ini masyarakat pengundi mahu wakil-wakil rakyat
yang dipilih oleh mereka sentiasa berada di kawasan dan sentiasa fokus
terhadap sebarang permasalahan rakyat di kawasan mereka.
“Pendekatan ahli parlimen yang balik ke kawasan sebulan sekali, balik
pun semata-mata untuk makan kenduri saya rasa sudah berlalu. Orang
Permatang Pauh dah jemu dah dengan cara sebegitu. Dah penat tengok ahli
parlimen yang balik sekali sekala tengok kawasan.
“Saya yakin hari ini, rakyat di Permatang Pauh mahukan wakil rakyat
yang sentiasa ada di kawasan. Mereka mahukan wakil rakyat yang ada di
kawasan pada waktu pagi, petang, siang dan malam.
Rata-rata penduduk
yang saya temui menyatakan bahawa mereka sudah penat dengan pilihan raya
kecil seperti ini. Namun selepas pilihan raya, mereka tak nampak batang
hidung wakil rakyat mereka di sini,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini
hari ini.
Tambah beliau, respon yang didapati di kalangan rakyat jelas
memperlihatkan bahawa sudah ada isyarat untuk membawa perubahan dalam
PRK kali ini.
“Saya bertemu dengan rakyat di kawasan ini, termasuk dikalangan
masyarakat Cina. Mereka luahkan perasaan kepada saya rasa bosan terhadap
wakil rakyat yang seringkali tidak ada di dalam kawasan. Kata mereka,
waktu pilihan raya saja mereka nampak wajah calon di poster, namun
setelah menang, lima tahun mereka tak nampak wajah wakil rakyat mereka.
“Kata mereka lagi, PRK kali ini merupakan peluang untuk mereka
bertukar wakil rakyat. Mereka mahukan perubahan. Mereka mahukan seorang
wakil rakyat yang sentiasa berada di dalam kawasan. Mereka mahukan wakil
rakyat tempatan, orang muda dan bertenaga untuk membantu mereka
menyelesaikan sebarang permasalahan,” jelasnya.
Justeru itu Zainal menegaskan, sekiranya calon BN dipilih rakyat
untuk menjadi ahli parlimen di Permatang Pauh, maka beliau akan
memastikan Suhaimi akan sentiasa berada di dalam kawasan untuk
memberikan tumpuan terhadap sebarang permasalahan rakyat di sini.
“Sebagai pengerusi UMNO Pulau Pinang, saya akan pastikan Suhaimi
sekiranya beliau terpilih dalam PRK kali ini, dia tidak akan ke mana.
Beliau akan duduk di Permatang Pauh ni. Jika orang nak surat sokongan,
beliau boleh tolong. Jika ada orang sakit dan sebagainya, beliau boleh
bantu. Kalau ada permasalahan di kalangan masyarakat, beliau dapat bantu
untuk selesaikan.
“Rakyat Permatang Pauh mahukan seorang wakil rakyat yang fokus
terhadap kawasan yang diwakilinya, yang menjiwai tugasnya, mereka
mahukan wakil rakyat yang boleh bekerja sepenuh masa dan wakil rakyat
yang sentiasa ada di kawasan dan boleh dicari pada bila-bila masa,”
tegasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment