Monday, May 04, 2015

Jika Azmin Jaga Kajang, Guan Eng Jaga Permatang Pauh, Wan Azizah Jadi ‘Patung’?

2 Mei 2015, Rompin : Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata apa yang ditawarkan oleh kedua-dua pemimpin teratas negeri pakatan pembangkang yang kononnya prihatin membantu Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjaga kawasan Kajang dan Permatang Pauh merupakan satu signal dan contoh yang tidak baik.

Menurut beliau, sepatutnya, wanita yang dipilih sebagai pemimpin atau apa sahaja jawatan dalam parti, hendaklah berdasarkan kepada merit dan kredibiliti.

“Jadi saya rasa cukup-cukuplah Dr Wan Azizah dijadikan sebagai ‘patung’ dalam pakatan pembangkang apatah lagi ini adalah tingkah yang tidak sihat dalam mana-mana kepimpinan supaya orang lain akan ikut macam ini, jika tidak boleh buat, orang lain boleh lakukan untuk dia.

“Habis tu dia buat apa? Jaga cucu di rumah?,” soal beliau.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu juga menegaskan, sekiranya seseorang diangkat sebagai pemimpin, individu tersebut perlulah menunjukkan kredibiliti dan kemampuan yang sebaiknya kerana telah diberi mandat untuk bertanggungjawab di kawasan yang diwakili.

“Maka, kita perlu buat sehabis baik, kita kena uruskan kawasan dengan baik, dan juga bertanggungjawab kepada semua pengundi-pengundi.

“Dan sekiranya begitu, saya kira Wan Azizah amat bertuahlah sebab mendapat pelawaan dan penjagaan sebegitu rupa,” ujar beliau secara sinis kepada UMNO-Online.
_DSC0173
Beliau turut mempertikaikan apakah fungsi Dr Wan Azizah jika dipilih sebagai wakil rakyat tetapi tidak mampu membantu dan menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya menyerahkan pula kepada orang lain untuk menguruskannya.

Terdapat laporan yang mendakwa, kemampuan Wan Azizah menjadi wakil rakyat semakin dipertikaikan berikutan sering mengabaikan kebajikan dan kepentingan rakyat yang diwakilinya di Kajang.

Sehubungan itu dilapor Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menawar untuk menjaga Kajang manakala Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula berjanji akan membantu menjaga Permatang Pauh jika Dr Wan Azizah mengekalkan kerusi PKR itu.

Dalam perkembangan mengenai pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin, Mas Ermieyati menyatakan Puteri telah bertemu dengan pengundi-pengundi dengan fokus ziarah rumah ke rumah dan program-program yang dekat di hati mereka.

“Maklumbalas pengundi muda kepada Datuk Hasan Arifin, calon Barisan Nasional (BN) di Rompin ini amat baik dan dikenali.

“Sepanjang kempen, penerimaan orang muda amat baik kepada Datuk Hasaan dan mengharap ada kesinambungan, bukan setakat terhenti di sini sahaja,” katanya.

Dalam PRK Rompin ini, pengundi wanita muda yang berumur 40 tahun ke bawah adalah seramai 12,417 orang.

Mereka juga menyatakan betapa sayangnya mereka kepada Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kerana bekas ahli Parlimen Rompin itu banyak membantu mereka, tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Puteri amat positif bahawa tiada masalah bagi BN memenangi PRK Rompin ini serta berusaha sedaya upaya dengan kekuatan jentera yang ada untuk mencapai sasaran sebagaimana yang diamanahkan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, beliau juga turut berbangga dengan komitmen jentera Puteri baik di Rompin mahupun di Permatang Pauh yang telah menunjukkan gerak kerja yang amat cemerlang.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment