Wednesday, May 06, 2015

#PRKRompin: Analisis Ringkas Yang Perlu Kita Fahami

chart-and-graph-with-arrow
EDITOR MENULIS...

6 MEI 2015

Pilihanraya kecil Rompin telah pun melabuhkan tirainya, dengan calon Barisan Nasional, Dato’ Hasan Arifin memenangi kerusi Parlimen Rompin dengan majoriti 8,895 undi menewaskan calon PAS, Nazri Ahmad sekaligus mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional sebelum ini.

Perlu diakui, bahawa majoriti kemenangan Barisan Nasional telah menurun iaitu 61.4%, berbanding 66.7% pada PRU13. Namun begitu, saya rasa sedikit lucu, apabila ramai di kalangan penyokong UMNO, juga pimpinan Pakatan Rakyat seperti CheguBard menggunakan hujah bahawa Barisan Nasional kehilangan hampir 50% undi majoriti.

Sungguh pun ada kebenaran tentang penurunan tersebut, hujah ini tidak relevan, kerana tidak mengambil kira jumlah keluar mengundi yang jelas berbeza, iaitu 73% pada pilihanraya kecil kali ini berbanding 85% pada PRU13.

Untuk pemahaman yang lebih baik, para pembaca boleh merujuk kepada “trend” keputusan-keputusan pilihanraya kecil sebelum ini. Sebagai contoh, pilihanraya kecil DUN Kuala Besut, DUN Sungai Limau dan DUN Kajang serta Parlimen Bukit Gelugor menyaksikan penurunan jumlah majoriti disebabkan penurunan jumlah keluar mengundi berbanding pilihanraya umum.

Barisan Nasional seharusnya berpuas hati dengan kemenangan majoriti selesa lebih 8,000 undi ketika diasak bertali arus oleh Tun Mahathir sejak akhir-akhir ini. Tambahan pula, isu GST, kejatuhan harga komoditi, harga saham FGV, dan masalah rumah generasi kedua felda telah dimanipulasi dalam skala besar-besaran.

Di samping itu, calon yang ditampilkan oleh Barisan Nasional juga dianggap sebagai calon “kitar semula” bukan sahaja oleh PAS tetapi juga kumpulan muda dalam parti.

Saya merasakan, faktor penurunan keluar mengundi adalah disebabkan sikap enggan peduli kerana kemenangan di Rompin tidak akan mengubah apa-apa hakikat bahawa kerajaan sudah pun terbentuk. Malah, tidak melampau kiranya, saya mengatakan bahawa dengan majoriti yang besar sebelum ini, pengundi Barisan Nasional tanpa disedari mengalami sindrom “selesa” lantas memilih untuk tidak mengundi.

Difahamkan, kira-kira 7 ribu pengundi luar tidak pulang untuk membuang undi. Ia menjadi faktor utama penurunan jumlah keluar mengundi di Rompin.

Politik adalah permainan angka, di mana 1 undi cukup untuk menentukan kemenangan.

Pada saat pentadbiran negara dikritik hebat oleh deretan tokoh-tokoh politik samada dari Barisan Nasional sendiri atau parti pembangkang, serta dari golongan berpengaruh, kemenangan ini menunjukkan Barisan Nasional bukanlah sebuah parti yang mudah dijatuhkan dan Najib Razak bukan calang-calang pemimpin.

Jutaan tahniah saya ucapkan kepada seluruh jentera Barisan Nasional yang bertungkus-lumus memastikan Barisan Nasional terus mendapat mandat rakyat di Parlimen Rompin.

Laluan getir menanti jentera Barisan Nasional di Permatang Pauh. Misi sukar tetapi tidak mustahil ini menuntut kerjasama bersepadu dari semua parti komponen dan ahli-ahlinya.

Jangan pula kita bertindak ibarat “mencurah garam di luka yang dalam”.

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjlWe7ba-jx7vcd7o0B3Pxen2h5lhPb_iZqNiwAWY43Nj-YfEAFn3c1egMaERmX99Hnz-9C0A30vdm0Tz0sXOll-1F431PtLBEZbo0v9xVZ1u5sD1SfjTv-1L8exhDQCs_SBI71qThrLhTi/s400/Syamsul.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment